Selasa, 26 March 2024 | 3:01pm
Scientex Bhd
Scientex Bhd

Untung bersih Scientex meningkat kepada RM141 juta

KUALA LUMPUR: Pengeluar pembungkusan global dan pemaju hartanah, Scientex Bhd mengekalkan momentum pertumbuhan apabila mencatatkan peningkatan 32.7 peratus keuntungan bersih kepada RM141 juta pada suku kedua berakhir 31 Januari 2024.

Prestasi positif Scientex disokong pertumbuhan pendapatan yang meningkat 11.7 peratus kepada RM1.1 bilion bagi tempoh dikaji.

Pencapaian prestasi kewangan itu disokong terutamanya daripada bahagian hartanah dengan sumbangan hasil RM456.9 juta, melonjak 41.3 peratus berbanding RM323.3 juta yang dicatatkan pada suku sama sebelumnya.

Pertumbuhan itu disumbangkan oleh kemajuan pembinaan yang mantap pada semua pembangunannya di seluruh wilayah Utara, Tengah dan Selatan Semenanjung Malaysia, di samping sambutan yang kukuh untuk pelancaran baharu di Pulau Pinang, Kedah, Perak, Melaka dan Johor.

"Walaupun menghadapi cabaran pasaran global, prestasi bahagian pembungkusan kumpulan sebahagian besarnya kekal mampan.

"Bahagian ini mencatat hasil berjumlah RM635.8 juta berbanding RM655.1 juta, terutamanya disebabkan oleh permintaan eksport yang lebih rendah untuk pembungkusan pengguna.

"Bagaimanapun, segmen pembungkusan lain untuk pasaran domestik dan eksport kekal berdaya tahan," kata Scientex dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif Scientex, Lim Peng Jin, berkata prestasi konsisten bahagian pembungkusan, di tengah-tengah keadaan pasaran yang mencabar, mencerminkan daya saing yang ditawarkan kepada pelanggan global.

"Di samping itu, bahagian hartanah kami terus menghasilkan kemajuan ke arah matlamat kami untuk membina 50,000 rumah menjelang 2028, menandakan kemajuan ketara dalam menangani permintaan penting untuk rumah mampu milik di negara ini," katanya.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Januari 202, hasil kumpulan meningkat 9.5 peratus kepada RM2.2 bilion daripada RM2.0 bilion dalam tempoh yang sama sebelumnya, manakala untung bersih meningkat 30.6 peratus kepada RM278.9 juta daripada RM213.5 juta sebelum ini.

Menuju ke hadapan, Peng Jin berkata, Scientex komited untuk meningkatkan kecekapan operasi dan mengutamakan kos, kualiti dan penghantaran kepada pelanggan, sekali gus meningkatkan kelebihan daya saing kumpulan.

"Selain itu, pelaksanaan berterusan sistem solar PV di semua kilang kami di Malaysia akan membantu mengimbangi kos tenaga yang tinggi dan memajukan inisiatif kelestarian alam sekitar.

"Dalam bahagian hartanah, permintaan yang kukuh untuk hartanah mampu milik terus menyokong pertumbuhan, dengan pengambilan ketara di seluruh pelancaran baharu kami di seluruh negara," katanya.

Berita Harian X