Ahad, 24 March 2024 | 1:06pm
Gambar hiasan. Cawangan Bank Simpanan Nasional. - NSTP/ROHANIS SHUKRI
Gambar hiasan. Cawangan Bank Simpanan Nasional. - NSTP/ROHANIS SHUKRI

BSN, PayHunter perkenal BSN DuitNow QR Soundbox

KUALA LUMPUR: Bank Simpanan Nasional (BSN) menjalinkan kerjasama dengan Tech Hunter Global Sdn Bhd (PayHunter) bagi memperkenalkan BSN DuitNow QR Soundbox, terminal pembayaran digital yang menyelaraskan bayaran tanpa tunai untuk peniaga gerai bazar Ramadan.

Pelancaran itu sejajar dengan rancangan Geran Digital PMKS Madani (GDPM) kerajaan untuk meningkatkan penyelesaian digital bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil berkata, BSN DuitNow QR Soundbox ini tersedia dan diaktifkan penggunaannya di 24 lokasi bazar Ramadan terpilih sekitar Kuala Lumpur sekaligus memberi manfaat kepada para peniaga gerai dan pengunjung bazar Ramadan.

"Penggunaan terminal ini adalah selaras dengan kejayaan program #TechMeToBazaar pada tahun lepas di bazar Ramadan TTDI di mana ia bukan sahaja mempamerkan komitmen BSN dan PayHunter dalam meningkatkan landskap perdagangan digital malah turut sama memperkasakan kebolehupayaan digital bagi PMKS.

"BSN dan PayHunter juga bekerjasama dalam menawarkan peniaga bazar Ramadan sama ada yang baru dan sedia untuk lebih berpeluang menjadi pedagang BSNeBiz," katanya.

Jay berkata, kesemua 24 peniaga bazar Ramadan di sekitar Kuala Lumpur akan menerima BSN DuitNow QR Soundbox secara percuma.

"Penggunaan peranti ini bakal memudahkan operasi peniaga di samping menjanjikan transaksi yang selamat.

"Dynamic BSN DuitNow QR Soundbox pula akan mula dilancarkan pada suku berikut tahun ini di mana BSN dan PayHunter akan terus menaik taraf QR Soundbox dengan ciri baharu.

Beliau berkata, peniaga boleh memasukkan harga produk terus ke dalam peranti yang kemudiannya menjana kod QR secara automatik manakala pelanggan boleh terus mengimbas kod QR atau menggunakan kad untuk pembayaran.

"Kerjasama dengan PayHunter ini membuktikan komitmen kami terhadap peningkatan produktiviti dan pertumbuhan perniagaan dalam kalangan PMKS menerusi transformasi digital.

"Pengenalan peranti ini adalah ciri yang memudahkan lagi proses pembayaran dan sebagai sebuah institusi kewangan yang dimandatkan, kami komited dalam memperkasakan PMKS melalui geran digital PMKS Madani, memastikan kejayaan mereka sekaligus menyumbang kepada perkembangan ekonomi lebih inklusif," katanya.

Berita Harian X