Jumaat, 22 March 2024 | 2:32pm

Teladan Group majukan Taman Teknologi Jerman 138.08 hektar di Melaka

KUALA LUMPUR: Teladan Group Bhd, pemaju hartanah berpangkalan di Melaka memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Melaka Corporation (MCORP), untuk membangunkan Taman Teknologi Jerman seluas 138.08 hektar di Ayer Panas, Daerah Jasin, Melaka.

Projek cadangan yang akan dimajukan oleh anak syarikat Teladan, Riverwell Resources Sdn Bhd (RRSB) dengan kerjasama agensi pembangunan Kerajaan Negeri Melaka itu menarik pelaburan Jerman ke negeri Melaka dan mengukuhkan hubungan ekonomi Malaysia-Jerman.

Ia merangkumi pelbagai pembangunan perindustrian, termasuk lot banglo perindustrian, kilang berkembar, pejabat kedai dan kuarters buruh berpusat.

Di bawah MOU itu, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam kajian kebolehlaksanaan dan perancangan pembangunan Projek Cadangan.

Perjanjian itu bertujuan untuk memanfaatkan kepakaran pembinaan Teladan dan simpanan tanahnya yang terletak di sepanjang Jalan Gapam.

Pada masa yang sama, MCORP akan mengetuai pembangunan dan penjualan Projek Cadangan.

Majlis menandatangani perjanjian itu diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Duta Besar Jerman, Dr Peter Blomeyer.

Pengarah Urusan Teladan, Richard Teo Lay Ban, berkata, dengan rekod prestasi yang terbukti membangunkan lebih RM2.9 bilion dalam nilai pembangunan kasar (GDV) dalam semua projek kediaman, komersial dan perindustrian, kumpulan itu yakin dapat menjayakan pembangunan Projek Cadangan itu.

"Melihat ke hadapan, kami optimis mengenai trajektori ekonomi Melaka, didorong oleh fokus Belanjawan 2024 dalam meningkatkan daya saing Melaka, di samping komitmen kerajaan untuk meletakkan negeri ini sebagai hab pelancongan global serta pusat perdagangan dan pelaburan.

"Dengan pengalaman Teladan di Melaka, kami berada pada kedudukan yang baik untuk meneroka peluang pembangunan baharu dan membuka kunci nilai komersil jangka panjang yang ketara," katanya.

Sehingga 31 Disember, Teladan memiliki simpanan tanah berjumlah 433.62 hektar yang belum dibangunkan, dengan sebahagian besar terletak di Melaka membabitkan potensi GDV sebanyak RM2.7 bilion.

Sementara itu, Ab Rauf berkata, kerjasama yang dimeterai itu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan dalam ASEAN dan mengeratkan hubungan ekonomi dengan Jerman.

Katanya, Projek Cadangan itu sejajar dengan inisiatif pertumbuhan ekonomi Kerajaan dengan menggalakkan kemajuan industri dan menarik industri berteknologi tinggi ke Melaka.

"Dengan memanfaatkan lokasi strategik Malaysia di Asia Tenggara dan infrastrukturnya yang teguh, kami menyasarkan untuk memacu industri, perniagaan dan perdagangan Melaka ke hadapan.

"Projek Cadangan mewakili satu langkah penting ke arah memajukan aktiviti perdagangan antarabangsa, mewujudkan peluang pekerjaan, dan meluaskan akses pasaran negara.

"Di MCORP, kami komited untuk menyokong pertumbuhan dan pembangunan ekonomi Malaysia," katanya.

Beliau berkata, projek berkenaan dibina berdasarkan hubungan perdagangan yang teguh antara Malaysia dan Jerman, yang telah berkembang pesat sejak sedekad lalu.

Jerman kekal sebagai rakan dagangan utama Malaysia dalam Kesatuan Eropah, manakala Malaysia kini rakan dagang terbesar Jerman di Asia Tenggara. Tambahan pula, Malaysia terus menjadi destinasi menarik untuk pelaburan langsung asing (FDI) dengan syarikat Jerman melabur €8.5 bilion (RM43.61 bilion) setakat 2023.

Berita Harian X