Jumaat, 22 March 2024 | 1:04pm

CelcomDigi, KPT perkenal pembelajaran digital Metaversity

PETALING JAYA: CelcomDigi Bhd (CelcomDigi) meneruskan kerjasama strategik bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi melancarkan CelcomDigi Metaversity iaitu suasana pembelajaran secara digital yang pertama di Malaysia.

Bagi memanfaatkan penyelesaian metaverse, realiti lanjutan (XR), kecerdasan buatan (AI) dan disokong oleh sambungan 5G serta fiber CelcomDigi, membolehkan kerjasama ini melonjakkan pembangunan bakat masa hadapan Malaysia yang pakar dalam teknologi baharu berasaskan AI serta memacu inovasi penyelesaian digital dalam landskap akademik dan perusahaan.

Kerjasama ini memberikan pelajar mengalami sendiri pengalaman pembelajaran digital secara maya dan memperkukuhkan kepakaran teknikal mereka terhadap kemahiran yang tinggi permintaannya ini.

Modul pembelajaran maya dapat memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan kemahiran mereka dan mencipta peluang inovasi meliputi pelbagai sektor industri, seperti penjagaan kesihatan, kejuruteraan, robotik, keselamatan siber dan banyak lagi.

Metaversity CelcomDigi telah melaksanakan enam kes pengguna dengan universiti tempatan seperti Muzium Maya, Hospital Pengajaran Perubatan, Pembuatan Kereta, Robotik, Keselamatan Siber dan Kejuruteraan industri minyak dan gas (O&G).

Manakala sebanyak 10 universiti iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Teknologi Mara (UTM), Asia Pacific University of Technology and Innovation (APU), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), MAHSA University, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka ( UTeM), telah mengikrarkan komitmen mereka untuk menerima pakai modul pembelajaran ini.

Sebagai penyedia sambungan pilihan untuk universiti-universiti tersebut, CelcomDigi akan memberikan sokongan melalui sambungan fiber dan seleksi penyelesaian Internet Kebendaan (IoT) digital untuk membantu dalam perjalanan transformasi institusi pengajian tinggi berkenaan.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, pembelajaran dan pendidikan Metaverse adalah kaedah inovatif yang membuka banyak kemungkinan untuk direbut dan dialami oleh bakat masa hadapan kita.

"Usaha ini juga merupakan satu kejayaan mengagumkan buat CelcomDigi dalam menerajui inisiatif ini ke arah menginovasikan penyelesaian yang memberi inspirasi kepada pelajar Malaysia.

"Kami menyeru lebih banyak institusi pendidikan, serta pemain teknologi dan industri, untuk bersama-sama menyuntik nafas baharu dan merevolusikan sistem pendidikan negara seterusnya mengangkat bakat negara ke tahap yang lebih tinggi," katanya semasa Majlis Pelancaran CelcomDigi Metaversity hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata, AI sedang mengubahkan dunia dan Malaysia perlu bersedia. "Matlamat kami di sini amat jelas iaitu membantu mempercepatkan kesediaan bakat masa depan, di samping meletakkan universiti tempatan sebagai antara institusi pembelajaran tercanggih di rantau ini.

"Dengan memanfaatkan kuasa teknologi 5G, AI, metaverse dan Internet Kebendaan, kami boleh meningkatkan cara kami mendidik dan melatih doktor, jurutera, saintis dan juruteknik masa depan kami," katanya.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi (kiri) merasmikan CelcomDigi Metaversity di Menara CelcomDigi. Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Prof Dr Azlinda Azman (dua dari kanan). - NSTP/ASYRAF HAMZAH
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi (kiri) merasmikan CelcomDigi Metaversity di Menara CelcomDigi. Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Prof Dr Azlinda Azman (dua dari kanan). - NSTP/ASYRAF HAMZAH
Berita Harian X