Khamis, 21 March 2024 | 11:04pm
Eco World Development Group Bhd (EcoWorld).
Eco World Development Group Bhd (EcoWorld).

EcoWorld catat untung lebih besar RM69.23 juta

KUALA LUMPUR: Eco World Development Group Bhd (EcoWorld) mencatatkan keunntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM69.23 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Januari 2024 daripada RM57 juta bagi tempoh yang sama setahun lalu.

Hasil meningkat 10.9 peratus kepada RM537.79 juta daripada RM484.73 juta sebelumnya disebabkan sumbangan yang lebih tinggi daripada fasa yang aktif dan fasa baharu dilancarkan.

"Projek utama yang menyumbang kepada hasil dan keuntungan kasar pada suku pertama 2024 ialah Eco Botanic, Eco Botanic 2, Eco Spring, Eco Tropics, Eco Business Park I, Eco Business Park II dan Eco Business Park III di Iskandar Malaysia dan Eco Majestic, Eco Hutan dan Eco Sanctuary di Lembah Klang," kata pemaju hartanah itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld, Datuk Chang Khim Wah, dalam satu kenyataan berkata kumpulan itu mencatat jualan RM1.26 bilion dalam empat bulan pertama tahun kewangan 2024, mewakili 36 peratus daripada sasaran jualan tahun kewangan 2024 sebanyak RM3.5 bilion.

Mengulas prestasi kumpulan itu, beliau berkata jualan rumah kediaman kekal sebagai penyumbang terbesar, dengan Eco Townships dan Eco Rise memperoleh RM799 juta atau 63 peratus daripada jumlah jualan setakat 29 Februari 2024.

"Ini termasuk jualan daripada pelancaran baharu rumah bertanah di Eco Spring dan Eco Tropics di Iskandar Malaysia dan Eco Grandeur di Lembah Klang," kata Khim Wah.

Syarikat itu juga akan aktif mencari peluang meningkatkan simpanan tanah, memandangkan tahap penggearan bersihnya yang rendah pada 0.28 pada 31 Januari 2024.

EcoWorld kekal pada kedudukan yang baik untuk meningkatkan simpanan tanah bagi meningkatkan lagi prospek pertumbuhan pada masa akan datang, katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X