Selasa, 19 March 2024 | 5:28pm
Jepun sentiasa menjadi salah satu destinasi utama bagi AAX - Gambar ihsan AirAsia
Jepun sentiasa menjadi salah satu destinasi utama bagi AAX - Gambar ihsan AirAsia

AirAsia lancar tiga laluan bebas hubungkan Taipei, Kaohsiung dengan Jepun

KUALA LUMPUR: AirAsia melebarkan lagi perkhidmatan penerbangannya ke pasaran Asia Timur Laut dengan pelancaran tiga laluan bebas kelima yang menghubungkan Taipei dan Kaohsiung dengan Jepun.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X (AAX), Benyamin Ismail berkata, AAX akan mengendalikan laluan baharu dari Taipei ke Tokyo bermula 31 Mei ini manakala Thai AirAsia akan menghubungkan Taipei ke Okinawa bermula 15 Jun 2024 dan Kaohsiung ke Tokyo pada 16 Jun 2024.

Beliau berkata, AAX akan mengendalikan laluan dari Taipei ke Tokyo menggunakan pesawat berbadan lebar Airbus A330 atau A330-300 yang mempunyai sehingga 377 tempat duduk termasuk 12 tempat duduk Premium Flatbed.

Manakala, Thai AirAsia pula katanya akan terbang dengan pesawat A320 yang mempunyai 180 tempat duduk termasuk 42 Hot Seats.

"Pelancaran laluan bebas kelima ini sejajar dengan fokus kumpulan menjadikan Taiwan sebagai hab maya menghubungkan penumpang ke-130 destinasi di seluruh Asia Tenggara dan Asia Timur Laut melalui rangkaian yang luas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Benyamin berkata, pelancaran laluan bebas kelima pertama pada 2024 itu juga menjadi bukti pemulihan ketara AAX.

Beliau berkata, Jepun sentiasa menjadi salah satu destinasi utama bagi AAX dan pelancaran laluan itu merupakan komitmen AirAsia kepada pasaran yang kompetitif dan untuk menawarkan perjalanan lebih mudah dan berpatutan.

Selain itu katanya, penumpang yang terbang antara Taiwan dan Jepun juga dapat menikmati pengalaman perjalanan lebih selesa dengan tempat duduk Premium Flatbed.

"Kami percaya pelancaran laluan baharu ini dapat meningkatkan peluang industri pelancongan antara Taiwan dan Jepun.

"AirAsia berharap untuk mengembangkan lebih banyak laluan pada masa hadapan," katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Thai AirAsia, Santisuk Klongchaiya pula berkata, Thai AirAsia berbesar hati untuk mengembangkan laluan dari Taipei dan Kaohsiung ke Jepun pada tahun ini termasuk pelancaran laluan dari Kaohsiung ke Bangkok baru-baru ini.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada para tetamu dari Taiwan atas sokongan berterusan mereka selama ini dan kami berharap untuk terus meneroka laluan tambahan antara Thailand dan Jepun," katanya.

Berdasarkan statistik oleh Organisasi Pelancongan Kebangsaan Jepun, industri pelancongan pulih kepada 80 peratus jumlah pra-pandemik dengan jumlah keseluruhan sebanyak 25 juta pelawat asing ke negara itu sejak tahun lalu.

Dalam jumlah tersebut, 4.2 juta adalah pelancong Taiwan membuktikan Jepun kekal sebagai destinasi pelancongan utama dari Taiwan.

Kumpulan AirAsia kini mengendalikan sembilan laluan dari Taiwan termasuk dari Taipei ke Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Bangkok, Chiang Mai, Manila dan Cebu serta dari Kaohsiung ke Kuala Lumpur, Manila dan Bangkok.

Dengan pelancaran tiga laluan baharu itu, AirAsia akan menawarkan 12 penerbangan terus dari Taiwan.

Berita Harian X