Isnin, 18 March 2024 | 5:47pm
Gambar fail. Akan menggunakan pesawat Airbus jenis A320. - NSTP/MOHD ADAM ARININ
Gambar fail. Akan menggunakan pesawat Airbus jenis A320. - NSTP/MOHD ADAM ARININ

AirAsia Cambodia sasar mula operasi 2 Mei ini

PHNOM PENH: AirAsia Cambodia menyasarkan untuk mencapai faktor muatan 85 peratus pada operasi penerbangan domestiknya ke tiga destinasi iaitu Phnom Penh, Siem Reap dan Sihanoukville yang dijadualkan bermula pada 2 Mei 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Aviation Group, Bo Lingam berkata AirAsia Cambodia mahu terus merangsang industri penerbangan dan pelancongan Kemboja selaras dengan strategi pengembangan ASEAN syarikat penerbangan itu.

"Dengan AirAsia Cambodia, kami akan menggunakan dua pesawat A320 ke ketiga-tiga destinasi dan menyediakan penerbangan harian.

"Ini adalah strategi pengembangan kami dengan menyasarkan untuk menghubungkan Kemboja kepada 700 juta penduduk di seluruh ASEAN dengan tambang yang lebih murah," katanya kepada pemberita selepas pelancaran AirAsia Cambodia 'Ready for Takeoff', di sini, hari ini.

Acara itu dirasmikan oleh Setiausaha Tetap Kemboja, Chea Oun.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Cambodia, Vissoth Nam berkata AirAsia Cambodia akan mengubah cara perjalanan orang ramai di Kemboja dan menjadikan perjalanan udara sebagai sebahagian daripada rangkaian pengangkutan negara dengan menawarkan tambang bernilai hebat, perkhidmatan yang luar biasa dan sambungan destinasi yang kukuh bermula dengan tiga destinasi ini.

"Kami yakin AirAsia Cambodia akan memainkan peranan penting dalam membentuk semula landskap penerbangan negara, menyumbang kepada ekonomi tempatan dengan menyediakan pekerjaan kepada penduduk tempatan dan menyokong aspirasi kerajaan Kemboja untuk pertumbuhan ekonomi dan pembangunan pelancongan," katanya.

Ketua Pegawai Pengurusan Hasil dan Perancangan Rangkaian AirAsia, Paul Carroll pula berkata menerusi tawaran rangkaian baharu di Kemboja, AirAsia menyasarkan untuk menerbangkan dua juta penumpang udara ke dan dari Kemboja bagi beberapa tahun akan datang.

Rangkaian antarabangsa AirAsia yang luas menghubungkan Phnom Penh, Siem Reap dan Sihanoukville ke lebih 130 destinasi di seluruh Asia dan seterusnya seperti Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Australia melalui habnya di Kuala Lumpur, Malaysia dan Bangkok, Thailand.

Sempena pelancaran itu, syarikat penerbangan itu memulakan kempen 6,000 tempat duduk percuma untuk tiga laluan, bagi perjalanan antara 2 Mei 2024 dan 29 Mac 2025. – Bernama

Berita Harian X