Isnin, 18 March 2024 | 4:13pm
Kelington Group Bhd
Kelington Group Bhd

Kelington mahu berkembang ke Jerman, Hong Kong

KUALA LUMPUR: Kelington Group Bhd, penyedia penyelesaian kejuruteraan bersepadu, merancang untuk berkembang ke pasaran Jerman dan Hong Kong bagi mendapat kelebihan daripada industri semikonduktor global yang berkembang pesat.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kelington, Raymond Gan, berkata pembuat cip sedang giat meningkatkan kapasiti pengeluaran untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat, dipacu oleh kepelbagaian geopolitik dan keperluan yang semakin meningkat untuk teknologi-teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI), Internet Pelbagai Benda (IoT), kenderaan elektrik (EV) dan Industri 4.0.

Beliau berkata, permintaan untuk kemudahan pembuatan semikonduktor kekal kukuh apabila teknologi berkenaan berkembang maju.

"Selepas ia menguncup pada 2023 disebabkan sifat kitaran industri, pertumbuhan bagi peralatan pembuatan semikonduktor dijangka diteruskan pada 2024, dengan jualan dijangka pulih dengan kukuh pada 2025," katanya.

Gan menyatakan ia dipacu oleh pengembangan kapasiti, projek fabrikasi baharu dan permintaan tinggi untuk teknologi termaju merentas segmen hadapan dan belakang.

"Jerman dan Hong Kong merupakan hab inovasi penting dalam sektor ini, dan kami optimis tentang menguasai bahagian pasaran yang lebih besar daripada perbelanjaan modal semikonduktor global dalam pasaran ini.

"Dengan memanfaatkan rekod prestasi kumpulan dalam menyelesaikan projek-projek yang berjaya untuk pelanggan multinasional terkemuka di Malaysia, Singapura, China dan Taiwan, kami berada pada kedudukan yang baik untuk menarik pelanggan-pelanggan baharu di Jerman dan Hong Kong serta memberi perkhidmatan kepada pelanggan sedia ada yang sedang mengembangkan jejak pembuatan mereka di rantau ini," katanya.

Kumpulan itu berkata, Kelington Engineering (Jerman) GmbH dan Kelington Engineering (HK) Ltd telah diperbadankan sebagai anak syarikat milik penuh tidak langsung untuk berkembang di kedua-dua pasaran berkenaan.

-BERNAMA

Berita Harian X