Ahad, 17 March 2024 | 1:19pm
Kerajaan dijangka mengutip hasil cukai sebanyak RM700 juta setahun daripada pelaksanaan HVGT -NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Kerajaan dijangka mengutip hasil cukai sebanyak RM700 juta setahun daripada pelaksanaan HVGT -NSTP/HAZREEN MOHAMAD

Tomei pindah kos kepada pelanggan jika HVGT jejas perniagaan

KUALA LUMPUR: Tomei Consolidated Bhd menjangkakan pelaksanaan Cukai Barang Bernilai Tinggi (HVGT) atau turut dikenali sebagai Cukai Barangan Mewah pada 1 Mei ini akan memberi kesan kepada perniagaannya.

Pengarah Urusan Tomei, Datuk Ng Yih Pyng, berkata buat masa ini pihaknya tidak boleh menyatakan dengan jelas sejauh mana cukai baharu itu akan memberi kesan kepada mereka kerana tidak mengetahui dengan menyeluruh mengenai perincian HVGT.

Walau bagaimanapun, katanya seandainya cukai itu mendatangkan kesan ketara kepada operasi mereka, maka syarikat itu tidak mempunyai pilihan selain memindahkan kos kepada pelanggan.

"Setakat ini masih tiada perincian (mengenai HVGT), tetapi jika ada pelaksanaan saya pasti akan ada sebahagian kesan kepada perniagaan, namun ia bergantung kepada kuantum.

"Terdapat had yang kami boleh serap, jika peratusan (cukai) adalah terlalu tinggi, kami terpaksa pindahkannya kepada pengguna, justeru ia akan mempunyai kesan tertentu.

"Namun ia bergantung kepada kuantum yang dikenakan kerana kami tidak mengetahui ambangnya, sama ada ia dikenakan kepada semua atau produk tertentu sahaja," katanya kepada BH.

Beliau ditemui selepas pelancaran Kempen Hari Raya, "Potret: Unlocking the Beauty of Every Persona' di Putrajaya, baru-baru ini.

Kerajaan dijangka mengutip hasil cukai sebanyak RM700 juta setahun daripada pelaksanaan Cukai Barangan Mewah atau kini dikenali sebagai HVGT.

Rang undang-undang berkenaan HVGT dicadangkan untuk dibentangkan dalam sesi Parlimen yang sedang bersidang dan dan sekiranya diluluskan, perundangan itu dicadangkan berkuat kuasa pada 1 Mei 2024.

Sementara itu, mengulas mengenai pelancaran semula My Jewel Club, Yih Pyng berkata pihaknya memperkenalkan beberapa manfaat baharu untuk ahli mengikut peringkat keahlian mereka.

"Sebelum ini kelab ini hanya untuk pengumpulan mata dan penebusan ganjaran. Namun kini terdapat beberapa siri manfaat untuk peringkat keahlian yang berbeza.

"Pada masa ini, terdapat 800,000 ahli aktif dan kami menyasarkan penambahan 50,000 ahli baharu untuk tahun ini," katanya.

Ditanya mengenai unjuran harga emas, beliau berkata tidak mustahil logam berharga itu mampu mencecah RM400 segram tahun ini.

"Saya tidak mahu melakukan unjuran (mengenai harga emas) tetapi semuanya adalah mungkin. Anda boleh melihat harga emas daripada RM100 kepada RM200, RM300 dan kini menghampiri RM400. Jadi, jika anda bertanya kepada saya sama ada harga emas boleh melepasi RM400, benar ia sentiasa mungkin," katanya.

Kempen Hari Raya "Potret: Unlocking the Beauty of Every Persona' mengambil inspirasi dari seni potret, di mana setiap barang perhiasan memainkan peranan sebagai kanvas untuk mengekspresikan diri.

Selain itu, Koleksi Potret Tomei dapat menyerlahkan keunikan setiap pemakai dalam perjalanan mereka untuk mencapai impian dan aspirasi masing-masing.

Berita Harian X