Khamis, 14 March 2024 | 5:04pm
Loke pada pelepasan AirAsia X Kuala Lumpur-Almaty di Terminal 2 KLIA hari ini - Gambar ihsan AirAsia
Loke pada pelepasan AirAsia X Kuala Lumpur-Almaty di Terminal 2 KLIA hari ini - Gambar ihsan AirAsia

AirAsia X mula penerbangan terus sulung ke Kazakhstan

SEPANG: AirAsia X (AAX) yang melebarkan sayapnya ke Asia Tengah melancarkan penerbangan terus pertamanya ke Almaty, Kazakhstan hari ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata laluan baharu itu bukan sahaja meningkatkan ketersambungan hubungan, malah mengukuhkan ikatan budaya dan ekonomi antara Kazakhstan dan Malaysia.

"Berikutan dengan kejayaan ini, kita menjangkakan pemulihan yang lebih ketara dalam trafik penumpang untuk 2024, dengan bilangan penumpang antara 93.9 juta hingga 107.1 juta," katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis pelepasan AirAsia X Kuala Lumpur-Almaty di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Turut hadir, Duta Kazakhstan ke Malaysia, Bulat Sugurbayev; Pengerusi Capital A, Datuk Kamarudin Meranun dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail.

Loke berkata, laluan baharu AirAsia X itu menunjukkan kepentingan Asia Tengah, sama ada membabitkan pertukaran dalam bidang pendidikan, pelancongan atau industri halal, dengan Malaysia menjadi rakan kongsi dalam trajektori pertumbuhan rantau itu.

"Kami mengharapkan lebih banyak peluang untuk perdagangan, pelancongan dan pelaburan di kedua-dua negara," katanya.

Sementara itu, Kamarudin berkata pelancaran laluan baharu berkenaan menunjukkan komitmen syarikat penerbangan itu dalam mengukuhkan hubungan ekonomi dan diplomatik antara kedua-dua negara.

Beliau berkata, dengan perdagangan dua hala mencecah berjuta-juta dolar Amerika Syarikat (AS), ia membuka ruang untuk memperluaskan kerjasama, khususnya dalam pelancongan, berikutan Kazakhstan akan menyambut ulang tahun kemerdekaannya yang ke-32.

Sugurbayev dalam pada itu berkata, beliau menantikan impak positif yang akan dibawa oleh industri penerbangan ke kedua-dua negara kerana Malaysia dikenali sebagai destinasi popular bagi warga Kazakhstan.

"Ramai pelancong Kazakhstan ke Malaysia sejak 20 tahun lalu dan saya gembira AirAsia akan membantu warga Kazakhstan mengembara ke seluruh Malaysia," katanya.

AAX akan mengendalikan empat penerbangan seminggu ke Almaty, menawarkan lebih daripada 95,000 tempat duduk setiap tahun, dengan tambang kompetitif bermula daripada RM599 atau AS$169 semua dalam sehala.

-BERNAMA

Berita Harian X