Khamis, 14 March 2024 | 2:48pm
Mohammad Hanis (kanan) dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay melancarkan Kad Kredit-i khusus buat warga PDRM - Gambar Facebook PDRM
Mohammad Hanis (kanan) dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay melancarkan Kad Kredit-i khusus buat warga PDRM - Gambar Facebook PDRM

Bank Rakyat perkenal Kad Kredit-i khusus buat anggota PDRM

KUALA LUMPUR: Bank Rakyat memperkenalkan Kad Kredit-i khusus buat warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai simbolik keprihatinan bank terhadap peranan, jasa dan khidmat bakti perwira negara yang mengekalkan ketenteraman dan keselamatan awam serta negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr Mohammad Hanis Osman, berkata inisiatif itu adalah sebagai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat untuk beralih kepada transaksi tanpa tunai bagi memenuhi keperluan gaya hidup yang semakin digital dan ringkas menerusi penggunaan e-pembayaran melalui kad kredit.

Beliau berkata, selain mempunyai reka bentuk yang menarik dan moden, Kad Kredit-i itu turut menawarkan pelbagai faedah eksklusif dan ciri utama khas untuk memenuhi keperluan kewangan dan memberi manfaat kepada anggota PDRM.

Katanya, caj perkhidmatan pengeluaran tunai istimewa sebanyak 1.5 peratus atau fi minimum RM15 yang mana lebih tinggi di mesin juruwang automatik (ATM) dan kaunter Bank Rakyat berbanding dengan kadar semasa sebanyak tiga peratus atau minimum RM20 untuk pengeluaran wang tunai.

"Kadar keuntungan serendah lapan peratus setahun untuk tiga tahun pertama, di samping pelan bayaran ansuran sebanyak kosong peratus tanpa sebarang caj dikenakan.

"Ciri-ciri lain termasuk, tiada yuran tahunan, tiada caj tambahan bagi transaksi luar negara yang membabitkan pertukaran wang asing, perlindungan takaful keluarga secara percuma serta khairat kematian sebanyak RM1,000," katanya.

Di samping itu, Mohammad Hanis turut menjelaskan bahawa anggota PDRM yang melanggan Kad Kredit-i khas itu berpeluang untuk menyertai kempen 'Raya Bergaya Bersama Jakel' yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM20,000 bersempena dengan Ramadan dan Syawal pada kali ini.

Beliau berkata, anggota PDRM juga berpeluang menikmati penjimatan sebanyak lima peratus bagi pembelian petrol dan diesel pada setiap Khamis di mana-mana stesen minyak seluruh negara menerusi kempen 'Petrol Khamis!' yang akan bermula dari 14 Mac hingga 31 Disember 2024.

Justeru, beliau menggalakkan seluruh anggota PDRM untuk melanggan Kad Kredit-i khas itu bagi menikmati pelbagai faedah eksklusif.

"Anggota PDRM yang berminat boleh membuat permohonan dengan mengunjungi cawangan Bank Rakyat yang berhampiran atau melayari laman web rasmi https://brick.bankrakyat.com.my," katanya.

Berita Harian X