Selasa, 12 March 2024 | 2:08pm
Tomei Consolidated Bhd - Gambar hiasan
Tomei Consolidated Bhd - Gambar hiasan

Tomei dijangka catat jualan kukuh semasa Hari Raya

KUALA LUMPUR: Tomei Consolidated Bhd berada di kedudukan strategik untuk mencatatkan jualan yang kukuh semasa tempoh Hari Raya akan datang, dipacu oleh jualan bagi produk emas 916 syarikat itu, demikian menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).

Firma penyelidikan itu berkata, bahawa penilaian positif itu turut disokong dengan pengembangan margin, di mana syarikat pertukangan emas itu dijangka meraih hasil yang mantap untuk suku kedua berakhir 30 Jun 2024.

"(Saham) Tomei kini diniagakan pada 4.3 kali di bawah perolehan harga, 57 peratus lebih rendah berbanding purata 10 tahun iaitu 10 kali.

"Gabungan antara penilaian terkurang nilai, keterujaan mengenai perolehan semasa musim perayaan dan harga emas yang kukuh akan membolehkan penarafan semula dibuat (kepada harga saham) Tomei," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Firma penyelidikan pasaran itu berkata, harga emas mengalami kenaikan yang mendadak pada bulan ini, didorong oleh jangkaan pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS), mencecah rekod tertinggi AS$2,195 seauns sebelum turun kepada AS$2,182 seauns kelmarin.

"Lonjakan itu bukan hanya mencetuskan minat terhadap kaunter berkaitan emas seperti Tomei, tetapi turut melonjakkan harga saham mereka.

"Walaupun harga emas yang berterusan tinggi mungkin mempunyai impak jangka panjang yang terhad terhadap Tomei disebabkan oleh kesan harga jualan purata (ASP) lebih tinggi akan mengimbangi kos simpanan semula emas yang bertambah, kenaikan harga emas serantau pada masa ini memberikan rangsangan jangka pendek kepada syarikat itu," katanya.

HLIB berkata, ini terutamanya disebabkan oleh perbezaan sementara antara inventori sedia ada dan kenaikan harga emas, menyebabkan pengembangan margin.

Ia menambah bahawa strategi Tomei untuk menambah inventori secara konsisten tanpa membuat spekulasi terhadap harga emas telah mengukuhkan lagi kedudukannya.

Susulan itu, katanya kenaikan harga emas global baru-baru ini dijangka memacu pertumbuhan margin Tomei sehingga inventori lama dijual sepenuhnya.

Berita Harian X