Isnin, 11 March 2024 | 4:33pm
Permohonan Akaun OCBC 360 boleh dibuat dalam talian sepenuhnya walaupun dari luar negara - Gambar ihsan OCBC Bank
Permohonan Akaun OCBC 360 boleh dibuat dalam talian sepenuhnya walaupun dari luar negara - Gambar ihsan OCBC Bank

Akaun OCBC 360 boleh dibuka secara dalam talian sepenuhnya

KUALA LUMPUR: Akaun OCBC 360 yang popular daripada OCBC Bank (Malaysia) Bhd kini boleh dibuka secara dalam talian sepenuhnya, walaupun dari luar negara.

Akaun simpanan dengan kadar faedah lebih tinggi yang diperkenalkan sejak 2015 itu disediakan untuk warganegara Malaysia yang berusia sekurang-kurangnya 18 tahun, termasuk yang bermastautin di luar Malaysia dan memenuhi keperluan ditetapkan dalam terma dan syarat.

Populariti akaun ini dipacu oleh minat pelanggan yang dapat menikmati kadar faedah sehingga 3.25 peratus setahun, jauh lebih tinggi daripada akaun simpanan biasa dengan hanya perlu menyempurnakan tiga transaksi perbankan biasa iaitu deposit, bayar dan belanja.

Akaun OCBC 360 bermula dengan kadar faedah 0.10 peratus setahun yang diberikan kepada individu yang mempunyai sebarang jumlah dalam akaun.

Apabila mereka mendepositkan jumlah minimum RM500, membayar sekurang-kurangnya tiga bil dalam talian, dan berbelanja sekurang-kurangnya RM500 menggunakan kad kredit/debit OCBC bagi bulan berkenaan, mereka mendapatkan tambahan 1.05 peratus setahun bagi setiap transaksi perbankan.

Selepas individu memenuhi semua syarat yang ditetapkan, mereka menerima faedah penuh 3.25 peratus setahun, atas baki akaun purata harian sehingga RM100,000.

Pengarah Urusan dan Ketua Perkhidmatan Kewangan Pengguna OCBC Bank, Anne Leh, berkata langkah membolehkan permohonan Akaun OCBC 360 dibuat dalam talian sepenuhnya akan memenuhi permintaan yang semakin bertambah daripada pelanggan untuk kemudahan dan kepantasan, yang dilaksanakan menerusi inovasi digital.

"Peranan kami sebagai bank adalah membolehkan orang ramai dan komuniti mencapai aspirasi masing-masing, dan salah satu cara melakukannya ialah menggunakan semua keupayaan yang ada pada kami demi manfaat mereka. Ini termasuk mempelopori segala inovasi dalam era digital ini.

"Kami telah menyepadukan fungsi eKYC (Ketahui Pelanggan Anda) ke dalam Akaun OCBC 360 sambil menjamin tahap keselamatan tertinggi bagi pelanggan.

"Akaun OCBC 360 ialah akaun simpanan utama yang memberi ganjaran kepada individu kerana melakukan apa yang biasa dilakukan mereka, termasuk transaksi perbankan harian seperti deposit, pembayaran dan perbelanjaan," katanya dalam satu kenyataan.

Pendekatan memberi ganjaran kepada pelanggan kerana melaksanakan transaksi perbankan harian mendorong kira-kira separuh daripada semua akaun simpanan dibuka di OCBC Bank adalah Akaun OCBC 360.

Langkah menjadikan proses pembukaan akaun dalam talian sepenuhnya diambil berikutan pelancaran progresif inisiatif serupa untuk mengendalikan urusan dalam talian sepenuhnya oleh OCBC Bank sejak tempoh beberapa tahun lalu, termasuk Akaun OCBC eBiz/i untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang popular, sehingga mendapat sambutan baik daripada syarikat-syarikat perniagaan.

Dengan melaksanakan keupayaan eKYC secara elektronik bagi Akaun OCBC 360, individu tidak lagi perlu mengunjungi cawangan OCBC untuk membuka akaun.

Berita Harian X