Ahad, 10 March 2024 | 1:00pm
Scientex menyasar untuk membina 50,000 rumah mampu milik menjelang 2028.
Scientex menyasar untuk membina 50,000 rumah mampu milik menjelang 2028.

Scientex beli tanah RM335.68 juta di Batang Berjuntai

KUALA LUMPUR: Pengeluar produk plastik dan pemaju hartanah, Scientex Bhd membeli sebidang tanah di Mukim Batang Berjuntai, Kuala Selangor, pada harga RM335.68 juta bagi meningkatkan lagi simpanan tanah bagi segmen pembangunan hartanah kumpulan.

Scientex turut bercadang untuk membina sebuah projek pembangunan gunaan bercampur di tanah yang dibelinya itu.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Scientex berkata bahawa anak syarikat milik penuhnya, Scientex Park (M) Sdn Bhd memeterai perjanjian jual dan beli bersyarat bersama Metalplex Plantation Sdn Bhd bagi cadangan pengambilalihan sebidang tanah pegangan bebas yang berkeluasan 826 ekar.

Menjelaskan potensi pembangunan di atas tanah itu, Scientex berkata cadangan pengambilalihan berkenaan mewakili satu peluang untuk mewujudkan nilai ekonomi lebih besar selain meningkatkan potensi perolehan dalam jangka sederhana hingga panjang.

"Cadangan pembelian ini akan membolehkan kumpulan Scientex memanfaatkan modal perniagaan sedia ada dan telah berjaya untuk menyediakan kediaman bertanah mampu milik serta berkualiti kepada pasaran massa dalam jangka sederhana ke panjang," katanya.

Selain itu, Scientex berkata penambahan simpanan tanah itu juga sejajar dengan matlamat kumpulan untuk membina lebih banyak kediaman mampu milik, dengan sasaran untuk menyiapkan sehingga 50,000 rumah sedemikian menjelang 2028.

Mengenai cadangan pembangunan gunaan bercampur, Scientex berkata buat masa ini adalah masih terlalu awal untuk menentukan nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan, kos pembangunan, jangkaan permulaan dan tarikh penyiapan sebenar projek, selain jangkaan keuntumgan daripada pembangunan tanah berkenaan.

Ia menambah bahawa cadangan pembelian tanah itu akan dibiayai oleh dana yang dijana secara dalaman dan juga pinjaman bank.

Jika tiada sebarang perkara tidak dijangka dan semua syarat telah dipenuhi, Scientex menjangkakan pembelian itu akan dimuktamadkan sepenuhnya pada separuh pertama 2025.

Berita Harian X