Khamis, 7 March 2024 | 12:11pm
Ketua Pegawai Eksekutif Boost Life, Ungku Norliza Syazwan Ungku Halmie (belakang empat kanan) bersama barisan perintis wanita Boost. - NSTP/NUR RAIHANA ALIA
Ketua Pegawai Eksekutif Boost Life, Ungku Norliza Syazwan Ungku Halmie (belakang empat kanan) bersama barisan perintis wanita Boost. - NSTP/NUR RAIHANA ALIA

Boost galakan penyertaan wanita dalam syarikat - Ungku Liza

KUALA LUMPUR: Boost, peneraju teknologi kewangan (fintech) serantau, terus menggalakkan penyertaan wanita, terutamanya dalam kedudukan kepimpinan untuk menyokong ke arah persekitaran kerja yang lebih inklusif.

Ketua Pegawai Eksekutif Boost Life, Ungku Norliza Syazwan Ungku Halmie berkata kedudukan lelaki dan wanita di Boost adalah sama dan tidak berat sebelah.

"Saya tidak berat sebelah terhadap jantina kerana kami menyedari bahawa wanita tidak boleh mencapai segala-galanya sendiri, jadi penting bagi kami untuk bekerjasama dalam hubungan simbiotik dan menyokong satu sama lain.

"Namun kami sangat menyokong dari segi memastikan penyertaan wanita mencukupi, di mana untuk peringkat Boost yang lebih luas, kami mempunyai lebih daripada 30 peratus penyertaan wanita secara keseluruhan," katanya kepada wartawan BH.

Ketua Pegawai Eksekutif Boost Life, Ungku Liza. - NSTP/NUR RAIHANA ALIA
Ketua Pegawai Eksekutif Boost Life, Ungku Liza. - NSTP/NUR RAIHANA ALIA

Ungku Liza berkata, di Boost, pemilihan pekerja adalah berdasarkan keupayaan dan kemahiran, tidak berdasarkan jantina.

"Kami mengambil pekerja berdasarkan kemahiran dan kebolehan mereka serta kami menyedari kepentingan wanita dalam peranan kepimpinan di mana ia dapat menambahkan nilai kepada pasukan kami.

"Apa yang kami lakukan adalah kami mempunyai fleksibiliti untuk mengurus dan seimbangkan tanggungjawab antara lelaki dan perempuan," katanya.

Beliau menambah, di Boost juga terdapat saluran sokongan tidak rasmi dari segi bimbingan, terutamanya kepada wanita.

"Saya menekankan kepentingan mempunyai mentor, terutamanya bagi wanita, kerana mereka memerlukan sokongan itu untuk maju ke peringkat seterusnya.

"Walaupun kenaikan pangkat datang daripada majikan, namun mempunyai rangkaian sokongan dalam kalangan wanita boleh meningkatkan keyakinan bagi pemimpin wanita dalam organisasi," katanya.

Tambahnya, beliau berkata, wanita mempunyai keutamaan unik dan melihat produk dengan cara yang berbeza di mana mereka memberikan tumpuan dari segi aspek seperti reka bentuk, keselesaan, atau kepentingan budaya.

"Wanita boleh membawa pandangan yang berbeza, bukan hanya dalam pembangunan produk tetapi juga dalam komunikasi, penyelesaian masalah dan kerjasama pasukan.

"Mereka sering mengambil pendekatan dengan empati dan cenderung mengelakkan konfrontasi, yang boleh menyumbang kepada harmoni dalam organisasi.

"Walaupun komposisi jantina kami tidak banyak berubah dari tahun lalu, kami tetap menghargai kepelbagaian dan berusaha untuk peningkatan berterusan," katanya.

Berita Harian X