Selasa, 5 March 2024 | 6:05pm

Masimo Malaysia labur RM100 juta bina kilang di Johor

JOHOR BAHRU: Masimo Medical Technologies Malaysia Sdn Bhd (Masimo Malaysia), syarikat peranti perubatan dan teknologi berasaskan misi telah melabur RM100 juta untuk membangunkan kemudahan pengeluaran baharu di Pasir Gudang dekat sini.

Pengurus Kilang, Jayakumar Krishnan, berkata kilang itu mempunyai kapasiti maksimum 100 juta peranti setahun untuk pasaran domestik dan eksport.

"Kemudahan termaju kami mewakili pelaburan yang besar masa depan penjagaan kesihatan, dan kami teruja untuk memanfaatkan lokasi strategik Malaysia dan infrastruktur yang mantap untuk memacu inovasi dan pertumbuhan di rantau ini," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian kilang itu hari ini.

Beliau berkata, pembukaan kilang baharu itu mengesahkan komitmen syarikat untuk memajukan teknologi perubatan dan penjagaan pesakit di Malaysia.

"Kilang ini adalah simbol dedikasi kami terhadap kecemerlangan, inovasi dan pertumbuhan. Dilengkapi dengan teknologi termaju, ia meletakkan kami untuk menghadapi cabaran masa depan sambil memastikan kualiti tertinggi dalam produk kami," katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pembangunan Pembuatan (sumber) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Umarani Muniandy, berkata industri teknologi perubatan (MedTech) di Malaysia telah menyaksikan pertumbuhan besar dicirikan oleh budaya inovasi yang rancak.

"Pada masa ini, Malaysia dengan bangganya menjadi tuan rumah kepada kira-kira 30 syarikat MedTech multinasional, yang terbabit dalam spektrum aktiviti yang luas daripada pembuatan kepada penyelidikan dan pembangunan," katanya.

Beliau berkata, tahun lalu, industri peranti perubatan menyaksikan pelaburan diluluskan berjumlah RM2.17 bilion, terdiri daripada 26 projek.

"Daripada jumlah ini, pelaburan asing membentuk 54 peratus, dengan baki 46 peratus datang daripada sumber domestik.

"Ini membuktikan keupayaan pembuatan kami yang utuh, asas penyelidikan yang berkembang maju dan ekosistem inovasi, yang bersama-sama berfungsi sebagai cadangan nilai yang kukuh untuk syarikat MedTech mengembangkan operasi mereka di sini," katanya.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia teguh dalam komitmennya untuk memperkukuh industri MedTech.

"Dalam usaha berterusan kami, kami telah memperkemas peraturan, mewujudkan persekitaran yang lebih mesra untuk pelabur antarabangsa," katanya.

Beliau berkata, langkah strategik itu direka untuk mengembangkan pasaran Malaysia, memupuk ekosistem yang bertenaga untuk kemajuan perubatan.

"Pusat strategi nasional kami ialah mengutamakan industri peranti perubatan dalam Misi 1 Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

"Visi kami adalah jelas: untuk mengangkat Malaysia sebagai kuasa pembuatan yang dipacu inovasi yang diiktiraf di peringkat global," katanya.

Beliau berkata, pelan itu menekankan pembangunan peranti perubatan dan industri farmaseutikal, memanfaatkan teknologi inovatif dan memanfaatkan potensi kumpulan bakat berkemahiran tinggi.

Beliau menambah bahawa pendekatan itu bertujuan untuk memacu ekonomi ke arah kerumitan dan daya tahan yang lebih besar. -- Bernama

Berita Harian X