Jumaat, 1 March 2024 | 9:43am
Gambar fail.
Gambar fail.

Untung bersih Genting Bhd melonjak kepada RM929.2 juta

KUALA LUMPUR: Genting Bhd mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM929.20 juta dalam tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023 (TK2023) berbanding kerugian bersih RM299.90 juta setahun lalu.

Pendapatan melonjak kepada RM27.12 bilion daripada RM22.38 bilion, dirangsang oleh perniagaan liburan dan hospitaliti di Amerika Syarikat, Bahamas, United Kingdom dan Mesir.

Syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata hasil daripada segmen kuasa bertambah baik terutamanya disebabkan oleh penjanaan yang tinggi daripada stesen janakuasa Banten di Indonesia berikutan tempoh gangguan yang lebih singkat iaitu 31 hari.

Bagaimanapun, hasil daripada bahagian perladangan bagi TK2023 lebih rendah disebabkan harga produk sawit lemah, yang membayangi peningkatan pengeluaran tandan buah segar (FFB) terutamanya dari ladang-ladang di Indonesia.

Unit minyak dan gas juga mencatatkan hasil yang lebih rendah berikutan penurunan harga minyak mentah global pada TK2023.

Bagi suku keempat, syarikat itu mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM150.10 juta daripada kerugian bersih RM168.72 juta, meningkat kepada RM7.27 bilion daripada RM6.36 bilion sebelumnya.

Kerugian lebih rendah sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan yang direkodkan daripada pelaburan dan lain-lain adalah disebabkan terutamanya oleh pengiktirafan keuntungan tukaran asing bersih belum direalisasi daripada pinjaman dalam denominasi dolar AS kumpulan anak syarikat Genting Malaysia Bhd berbanding kerugian pertukaran asing bersih tidak direalisasi pada suku keempat TK2022

Bagi Tahun Kewangan 2024, kumpulan Genting Malaysia terus berhati–hati dengan prospek industri liburan dan hospitaliti dalam tempoh terdekat ini tetapi yakin bagi tempoh jangka panjang. .

Sementara itu, kumpulan tersebut menjangka segmen hartanah terus menawarkan produk yang menampung segmen pasaran lebih meluas dalam projeknya di Batu Pahat dan Kulai, yang mendapat sambutan baik.

Perkembangan kemajuan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan Sistem Transit Rapid secara umumnya dijangka menjana minat dan permintaan terhadap pasaran hartanah Johor.

Genting Bhd mengumumkan dividen akhir 9 sen sesaham yang akan dibayar pada 19 April, 2024.

– Bernama

Berita Harian X