Khamis, 29 Februari 2024 | 6:04pm
Gambar fail. Ketua Pegawai Eksekutif, Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes. - NSTP/ASWADI ALIAS.
Gambar fail. Ketua Pegawai Eksekutif, Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes. - NSTP/ASWADI ALIAS.

Capital A kembali raih keuntungan

KUALA LUMPUR: Capital A Bhd kembali mencatat keuntungan, dengan keuntungan bersih RM836.98 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 berbanding kerugian bersih RM2.62 bilion pada tahun kewangan 2022.

Menurutnya peningkatan dalam keuntungan bersih itu adalah berikutan keuntungan sebanyak RM1.36 bilion daripada penilaian semula syarikat bersekutu kepada anak syarikatnya, Asia Aviation PCL Group, dan kemajuan yang menyeluruh dalam perniagaan penerbangan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, katanya perolehan meningkat kepada RM14.77 bilion berbanding RM6.43 bilion sebelum ini.

Bagaimanapun, pada suku keempat tahun kewangan 2023, kumpulan memperoleh kerugian bersih RM159.56 juta berbanding keuntungan bersih RM109.94 juta pada suku keempat 2022.

Perolehan meningkat kepada RM4.85 bilion berbanding RM2.19 bilion sebelum ini berikutan pemulihan permintaan yang kukuh daripada perjalanan domestik dan antarabangsa dalam tempoh berkenaan.

"Pada suku keempat 2023, segmen penerbangan menyumbang 93 peratus daripada perolehan kumpulan, manakala selebihnya disumbangkan oleh perniagaan logistik, digital dan lain-lain," katanya.

Mengenai prospek segmen penerbangan, Capital A berkata walaupun tekanan kos kekal tinggi, terutamanya disebabkan mata wang Asean yang lemah, ia telah melaksanakan langkah kawalan yang membolehkan kumpulan untuk terus menawarkan tambang menarik.

Pada tahun ini, kumpulan akan terus memberikan tumpuan untuk mencatat kos terendah melibatkan semua sektor, meningkatkan penggunaan dan kecekapan aset.

"Kami sedang menggiatkan budaya berprestasi tinggi, berpaksikan kepada kecekapan dan menyediakan produk yang lebih baik.

"Menawarkan perkhidmatan pelanggan yang luar biasa merupakan keutamaan, bermula dengan pekerja kami yang diperkasa dan disokong oleh teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk kepuasan yang dipertingkatkan, dan kami juga lebih banyak melabur dalam bidang ini untuk meningkatkan lagi pengalaman pelanggan," katanya.

Pada masa yang sama, Capital A di peringkat akhir untuk memuktamadkan pelan regularisasi PN17 dan menyasarkan penyerahan yang lengkap kepada Bursa Malaysia tidak lama lagi.

"Lembaga pengarah optimis dan menjangkakan prestasi kukuh dapat dicapai pada 2024," katanya. – Bernama

Berita Harian X