Khamis, 29 Februari 2024 | 4:09pm
Gambar fail. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Gambar fail. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Untung bersih Malaysia Airports melonjak kepada RM543.17 juta

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) meningkat kepada RM543.17 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 daripada RM187.20 juta pada tahun kewangan 2022 didorong oleh pendapatan yang lebih tinggi.

Peningkatan pendapatan disumbangkan oleh kenaikan pendapatan lain dan bahagian keuntungan daripada syarikat bersekutu serta usaha sama, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Keuntungan yang lebih tinggi daripada nilai saksama pelaburan dalam GMR Hyderabad International Airport Ltd yang dicatatkan pada tahun dalam tinjauan turut menyumbang peningkatan itu, kata MAHB dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Hasil melonjak sebanyak 57.2 peratus kepada RM4.91 bilion bagi tahun kewangan 2023, berbanding RM3.13 bilion, seiring dengan kenaikan pergerakan penumpang.

"Hasil daripada operasi lapangan terbang naik 60.6 peratus kepada RM4.60 bilion manakala segmen aeronautik meningkat kepada RM2.70 bilion.

"Pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh pemulihan trafik penumpang, yang melonjak daripada 83.9 juta kepada 119.5 juta penumpang," katanya.

MAHB berkata operasi Malaysia mengalami peningkatan ketara dalam trafik penumpang, mencecah 81.9 juta penumpang berbanding 52.7 juta penumpang pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, operasi Malaysia terus menunjukkan pemulihan trafik penumpang, meningkat daripada 31.2 juta kepada 37.6 juta penumpang dalam tempoh yang sama.

"Perolehan segmen bukan aeronautik juga menyaksikan pertumbuhan, meningkat kepada RM1.89 bilion, terutamanya disebabkan sumbangan lebih baik hasil komersial daripada kedua-dua operasi Malaysia dan Türkiye," katanya.

MAHB mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 10.8 sen sesaham untuk tahun kewangan 2023.

Bagi suku keempat tahun kewangan 2023, keuntungan bersih MAHB susut kepada RM287.70 juta daripada RM359.14 juta disebabkan oleh pengurangan dalam yuran penggunaan.

Bagaimanapun, hasil bagi suku keempat tahun kewangan 2023 meningkat sebanyak 36.8 peratus kepada RM1.37 bilion daripada RM1 bilion sebelumnya, didorong oleh jumlah penumpang yang lebih tinggi hasil daripada pengembangan laluan syarikat penerbangan, penyambungan semula penerbangan Asia Utara dan pelancaran operasi syarikat penerbangan baharu pada suku semasa.

Melangkah ke hadapan, MAHB berkata prospeknya kekal menggalakkan, disokong oleh pertumbuhan trafik penumpang dan diperkukuh lagi oleh strategi berterusan kumpulan dalam meningkatkan ketersambungan syarikat penerbangan dan habnya, memberi nafas baharu kepada ruang komersial dan runcit, serta meningkatkan peluang luar terminal.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Mohamed Rastam Shahrom berkata MAHB terus menerima permintaan yang memberangsangkan untuk perjalanan udara, dengan kapasiti tempat duduk syarikat penerbangan terkini untuk 2024 menunjukkan peningkatan 13 peratus berbanding 2023. – Bernama

Berita Harian X