Khamis, 29 Februari 2024 | 12:22pm
Ketua Pegawai Invest Selangor, Datuk Hasan Azhari Idris (tiga dari kiri) menyaksikan majlis pemeteraian kerjasama antara BDC dan Cyberview dalam satu majlis di Cyberjaya.
Ketua Pegawai Invest Selangor, Datuk Hasan Azhari Idris (tiga dari kiri) menyaksikan majlis pemeteraian kerjasama antara BDC dan Cyberview dalam satu majlis di Cyberjaya.

Bridge Data Centres bangun pusat data ketiga di Cyberjaya

CYBERJAYA: Bridge Data Centres (BDC) mengukuhkan lagi kehadirannya dengan membeli tanah baharu di Selangor bagi membangunkan pusat data ketiga, MY02, di Cyberjaya.

Peluasan berkenaan, dengan kerjasama Cyberview Sdn Bhd dijangka menjadi yang terbesar antara tiga pembangunan pusat data syarikat itu.

Projek itu dijangka meningkatkan kapasiti teknologi maklumat (IT) sebanyak kira-kira 87 megawatt (MW) merangkumi tiga fasa.

Dua fasa pertama membabitkan pembinaan pusat data setinggi tiga tingkat.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman, berkata pelaburan berterusan ini mencerminkan keyakinan BDC terhadap Malaysia, mengukuhkan lagi peranan negara ini sebagai hab pusat data serantau.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada BDC di atas perasmian pengembangan pusat data ketiga, MY02, di Cyberjaya.

"Sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), komitmen BDC menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi mampan negara, mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat tempatan dan melonjakkan perjalanan transformasi digital," katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Mahadhir Aziz, pula berkata BDC, sebagai pembangunan pusat data terbesar, membina kehadiran di sini akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab digital ASEAN, menarik dengan ketara pelaburan besar dan menghasilkan peluang pekerjaan yang besar.

Beliau berkata, MDEC, sebagai agensi penggalakan pelaburan digital negara menyokong kerjasama sedemikian, dan ini amat bertepatan dengan Malaysia Digital (MD) MDEC dalam memacu ekonomi digital negara.

"Kami teruja untuk menyaksikan BDC datang bersama Cyberview ke arah inisiatif untuk memangkin pertumbuhan ekonomi digital. Tahniah kepada BDC dan Cyberview di atas pencapaian yang bermakna ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cyberview, Kamarul Ariffin Abdul Samad, berkata pelaburan Bridge Data Centre di Cyberjaya adalah pencapaian yang bermakna dan mengesahkan kedudukan bandar itu sebagai lokasi perdana bagi penyedia pusat data berskala hiper.

"Ini adalah bukti kepada komitmen kami dalam memupuk inovasi, sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk terus mengembangkan ekonomi digital," katanya.

Berita Harian X