Rabu, 28 Februari 2024 | 10:18pm
Genting Plantations Bhd.
Genting Plantations Bhd.

Untung bersih Genting Plantations susut kepada RM253.48 juta

KUALA LUMPUR: Genting Plantations Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang rendah kepada RM253.48 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 daripada RM471.42 juta pada tahun kewangan 2022.

Hasil turut turun kepada RM2.96 bilion daripada RM3.18 bilion sebelumnya, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Hasil yang lebih rendah itu disebabkan oleh harga produk kelapa sawit yang lebih lemah mengatasi pengeluaran buah tandan segar (BTS) yang lebih tinggi, katanya.

"Pengeluaran BTS untuk tahun kewangan 2023 meningkat tahun ke tahun, didorong oleh ladang-ladang kumpulan di Indonesia yang memiliki profil usia yang menggalakkan dan kawasan penuaian yang diperluaskan.

"Bagi pengeluaran di ladang-ladang Malaysia, ia mengalami penurunan sedikit akibat aktiviti penanaman semula yang berterusan," katanya.

Genting Plantations berkata, prospek kumpulan untuk 2024 akan berdasarkan prestasi segmen perladangan utamanya, yang mana seterusnya bergantung kepada pergerakan harga produk kelapa sawit dan pengeluaran BTS kumpulan.

"Dalam jangka masa terdekat, kumpulan menjangkakan harga minyak sawit kekal disokong oleh bekalan global yang terhad susulan prospek pengeluaran lebih lemah dan keadaan cuaca yang tidak menentu.

"Faktor penyumbang lain termasuklah permintaan biodiesel yang semakin meningkat di peringkat global berikutan pertambahan mandat biodiesel," katanya.​

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2023, keuntungan bersih kumpulan meningkat kepada RM63.19 juta daripada RM55.85 juta yang dicatatkan pada suku keempat 2022, manakala hasil meningkat kepada RM800.45 juta daripada RM791.18 juta sebelumnya.

-BERNAMA

Berita Harian X