Isnin, 26 Februari 2024 | 9:59pm
FGV Holdings Berhad (FGV).
FGV Holdings Berhad (FGV).

Untung bersih FGV susut kepada RM103 juta

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih FGV Holdings Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 susut kepada RM103 juta berbanding RM1.33 bilion pada tahun kewangan 2022 disebabkan kemerosotan dalam keuntungan perladangan.

Keuntungan perniagaan perladangan sebelum zakat dan cukai merosot daripada RM2.12 bilion kepada RM294.82 juta, disebabkan oleh purata harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih rendah serta kenaikan 29 peratus dalam kos pengeluaran kilang MSM.

Jumlah hasil juga berkurangan kepada RM19.36 bilion berbanding RM25.56 bilion, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

FGV mengisytiharkan dividen akhir tiga sen sesaham berbanding 11 sen setahun sebelumnya, ia adalah satu-satunya dividen yang diisytiharkan untuk tahun ini manakala jumlah dividen untuk tahun kewangan 2022 ialah 15 sen.

Syarikat itu berkata purata harga MSM merosot kepada RM3,901 satu tan daripada RM4,832 pada tahun kewangan sebelumnya.

Bagaimanapun, ia telah diimbangi sebahagiannya oleh peningkatan dalam sektor logistik dan lain-lain serta pengurangan kerugian dalam segmen gula, katanya.

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2023, keuntungan bersih menyusut 79 peratus kepada RM71.82 juta daripada RM344.29 juta, sebahagiannya

dikurangkan oleh prestasi yang bertambah baik dalam sektor logistik dan lain-lain serta peningkatan dalam perniagaan gula pada suku berkenaan.

Hasil turun 12 peratus kepada RM5.36 bilion berbanding RM6.10 bilion.

Mengenai prospek, syarikat itu berkata bekalan minyak sawit global untuk pasaran eksport dijangka terjejas oleh pelaksanaan mandat biodiesel B35 di Indonesia, permintaan rendah daripada negara pengimport utama dan persaingan harga daripada minyak biji sesawi dan bunga matahari.

Ia dijangka mempengaruhi harga MSM yang dijangka antara RM3,900 dan RM4,200 setiap tan.

Sementara itu, FGV Holdings berkata sektor gulanya sentiasa mencari peluang untuk menambah baik penawaran produk sambil melibatkan diri dengan kerajaan untuk memuktamadkan mekanisme penetapan harga yang mampan bagi segmen runcit domestik bagi memastikan keselamatan makanan.

Pelancaran gula putih premium baharu dalam pasaran juga dijangka menyumbang dengan ketara kepada syarikat itu, katanya.

Bagi sektor logistik, FGV berkata ia akan terus meneroka peluang pengembangan pasaran dengan mengembangkan kapasiti pukalnya dan menguruskan volum produk bernilai tinggi termasuk produk premium dan tenaga boleh diperbaharui.

– Bernama

Berita Harian X