Isnin, 26 Februari 2024 | 4:22pm
Gambar fail. - NSTP/ROHANIS SHUKRI.
Gambar fail. - NSTP/ROHANIS SHUKRI.

Untung Petronas Chemical turun kepada RM1.8 bilion

KUALA LUMPUR: Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM1.8 bilion, penurunan daripada RM6.3 bilion pada 2022, selaras dengan tahun yang mencabar untuk industri kimia global.

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, pertumbuhan ekonomi yang kurang memberangsangkan dan pemulihan China yang lebih perlahan daripada jangkaan ini telah memberi kesan kepada industri yang menyebabkan permintaan produk dan harga semakin rendah dan ketegangan geopolitik menyebabkan harga tenaga kekal tinggi, mengakibatkan peningkatan kos bahan mentah serta penekanan margin.

Pada suku keempat 2023, pendapatan meningkat sebanyak 6 peratus suku ke suku kepada RM7.2 bilion berikutan jumlah pengeluaran dan volum jualan yang lebih tinggi, namun PAT menurun kepada RM142 juta atas penyebaran produk yang lebih rendah serta kos tenaga dan utiliti yang lebih tinggi.

Pembayaran dividen interim kedua sebanyak 5 sen sesaham berjumlah RM400 juta dan jumlah dividen yang diisytiharkan untuk 2023 adalah RM1.0 bilion yang mewakili 61.3 peratus daripada PAT dan kepentingan tanpa kawalan (PATANCI).

Penggunaan loji dicatatkan pada 85 peratus berbanding tahun sebelumnya pada 89 peratus di samping cabaran-cabaran operasi serta aktiviti-aktiviti pemulihan dan penyelenggaraan berkanun yang dijalankan pada tahun berkenaan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mazuin Ismail berkata, 2023 adalah tahun yang sukar untuk PCG, pada bahagian pasaran dan juga operasi.

"Kita menempuh pasaran bahan kimia yang tidak menentu sepanjang tahun, kami turut menghadapi gangguan di beberapa loji kami, yang mengakibatkan prestasi yang lebih rendah dalam segmen minyak dan gas (O&G) serta baja dan metanol (F&M) kami.

"Pada masa yang sama, segmen bahan kimia Khusus terus terjejas kerana isu pengurangan stok berterusan dan juga persaingan yang semakin sengit daripada pengeluar-pengeluar China," katanya.

Mazuin berkata, di samping penyebaran rendah yang berterusan dan cabaran operasi, pihaknya kekal berdaya tahan dengan kedudukan kewangan yang memuaskan justeru membolehkannya melangkaui komitmen kepada pemegang saham.

Beliau berkata, mengenai prospek pasaran bahan kimia, cabaran yang dilalui pada 2023 dijangka berterusan hingga 2024 kerana pemulihan ekonomi dijangka kekal perlahan namun peluang dalam pelbagai sektor masih ada.

"Harga etilena dijangka meningkat pada akhir tahun selaras dengan peningkatan penggunaan yang turut mendorong permintaan untuk polietilena dalam aplikasi pembungkusan, manakalan untuk segmen F&M, harga urea dijangka stabil, dengan sokongan daripada musim penanaman di India dan larangan berterusan eksport urea dari China.

"Harga metanol mungkin berkurang kerana permintaan hiliran dijangka kekal rendah, dan begitu juga dengan bahan kimia khusus, di mana industri kimia bersifat siklis, oleh itu kami menjangkakan kitaran menurun ini akan berubah apabila permintaan sejajar dengan bekalan," katanya.

Berita Harian X