Ahad, 25 Februari 2024 | 11:25am
Pengerusi Aeon Co (M) Bhd, Datuk Iskandar Sarudin (kanan) pada gimik perasmian Ulang Tahun Aeon Ke-40 dan Senyum Tour di Aeon Alpha Angle, Wangsa Maju. Turut serta, Timbalan Pengarah Urusan Aeon Co. (M) Bhd, Naoya Okada (kiri). - BERNAMA
Pengerusi Aeon Co (M) Bhd, Datuk Iskandar Sarudin (kanan) pada gimik perasmian Ulang Tahun Aeon Ke-40 dan Senyum Tour di Aeon Alpha Angle, Wangsa Maju. Turut serta, Timbalan Pengarah Urusan Aeon Co. (M) Bhd, Naoya Okada (kiri). - BERNAMA

AEON buka pasar raya baharu berhampiran MITEC, Setia City Mall

KUALA LUMPUR: AEON Co (M) Bhd merancang untuk membuka sebuah pasar raya AEON baharu menjelang akhir 2025, berhampiran Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.

Ketua Pegawai Operasinya, Naoya Okada, berkata langkah itu adalah antara usaha pengembangan perniagaan syarikat itu.

Ia juga akan membuka pasar raya AEON baharu di Setia City Mall, Shah Alam, bulan hadapan dan mengubah suai sepenuhnya tiga pasar raya AEON sedia ada.

"Pada masa ini, kami sedang melakukan pengubahsuaian di AEON Bandar Puchong, IOI Mall Puchong, yang akan dimulakan selepas Raya (Aidilfitri) dan siap menjelang tahun ini.

"Pengubahsuaian akan dilakukan secara berperingkat, bahagian demi bahagian agar tidak mengganggu perniagaan sedia ada," katanya.

Timbalan Pengarah Urusan AEON Co Malaysia Bhd, Naoya Okada bercakap kepada media pada majlis Sambutan Ulang Tahun ke 40 AEON, di AEON Alpha Angle, Wangsa Maju. - NSTP/SADIQ SANI
Timbalan Pengarah Urusan AEON Co Malaysia Bhd, Naoya Okada bercakap kepada media pada majlis Sambutan Ulang Tahun ke 40 AEON, di AEON Alpha Angle, Wangsa Maju. - NSTP/SADIQ SANI

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sambutan ulang tahun ke-40 AEON dan pelancaran program Senyum Tour di AEON Alpha Angle, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi AEON Datuk Iskandar Sarudin.

Okada berkata syarikat itu juga merancang untuk mengubah suai setiap pasar rayanya di Johor dan wilayah utara.

"Kami sangat komited untuk menaik taraf pusat beli-belah dan pasar raya sedia ada kami seperti yang kami lakukan di sini (AEON Alpha Angle) dua tahun lepas. Tahun lepas, kami telah mengubahsuai satu di Ayer Keroh, Melaka dan satu lagi di Cheras Selatan," katanya.

Sehingga kini, AEON mempunyai 28 pusat beli-belah, 34 pasar raya, tujuh pasar raya MaxValu, 64 AEON Wellness dan 45 cawangan DAISO di seluruh negara.

Okada berkata melalui pengembangan perniagaannya pada 2024, kumpulan itu berharap dapat meraih pelanggan baharu, terutamanya daripada generasi muda.

Sementara itu, Iskandar dalam ucapannya berkata program Senyum Tour yang bermula 27 April ini di AEON Mall Bukit Tinggi, Klang akan diperluaskan ke AEON Mall yang lain pada setiap bulan dengan acara kemuncak berlangsung pada Disember di AEON Mall Shah Alam.

Beliau berkata pelanggan akan ditawarkan dengan diskaun menarik, promosi istimewa dan pelbagai aktiviti menarik sepanjang program jelajah berlangsung.

"AEON juga akan menganjurkan inisiatif kemampanan yang dipanggil 'Menanam Benih Pertumbuhan untuk Masa Depan' pada September ini, membabitkan 28 sekolah di sekitar 28 pusat beli-belah kami," katanya. – Bernama

Berita Harian X