Jumaat, 23 Februari 2024 | 1:33pm

Untung bersih Sime Darby Property naik 29 peratus

KUALA LUMPUR: Sime Darby Property Bhd (Sime Darby Property) mencatatkan prestasi cemerlang bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 dengan pendapatan dan keuntungan operasi sebanyak RM3.4 bilion dan RM606.4 juta, tertinggi sejak pengasingan penggabungannya pada 2017.

Ia menandakan pencapaian yang cemerlang untuk tahun kedua berturut-turut susulan hasil keuntungan operasi tahun kewangan 2022 sebanyak RM436.2 juta.

Syarikat hartanah itu juga mencatatkan jualan RM3.3 bilion pada tahun kewangan 2023, melepasi sasaran jualan yang disemak semulanya sebanyak RM2.7 bilion.

Keuntungan bersihnya meningkat 29 peratus kepada RM407.9 juta berbanding RM315.8 juta pada tahun sebelumnya, sementara pendapatannya juga meningkat 25 peratus kepada RM3.4 bilion.

Keputusan kewangan yang cemerlang itu mendorong Sime Darby Property mengisytiharkan jumlah dividen sebanyak 2.5 sen sesaham bagi tahun kewangan 2023.

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican, berkata tahun kewangan 2023 adalah tahun cemerlang bagi syarikat meskipun berdepan persekitaran mencabar.

Beliau berkata, prestasi memberangsangkan itu juga melambangkan keupayaan syarikat serta kemajuan strategi SHIFT25nya.

"Pendapatan kami meningkat 25 peratus kepada RM3.4 bilion, tertinggi sejak pengasingan pada 2017 dipacu prestasi kukuh segmen pembangunan hartanah, yang mendapat manfaat daripada kemajuan di tapak dengan pemulihan tenaga kerja dan pengiktirafan jualan yang tidak dibilkan.

"Pelancaran baharu pada tahun kewangan 2023 membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM4.0 bilion dengan purata kadar ambilan bagi semua produk 80 peratus," katanya pada sidang media mengumumkan prestasi kewangan 2023 secara dalam talian hari ini.

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican.
Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican.

Setakat 31 Disember 2023, Sime Darby Property telah mengekalkan tahap jualan belum dibil sebanyak RM3.6

bilion yang memastikan keterlihatan pendapatan untuk tiga tahun akan datang.

Paras inventori lengkap syarikat adalah bernilai RM390.3 juta dalam GDV, dengan baki tunai sebanyak RM603

juta, serta aliran tunai positif (tanpa pemerolehan tanah) sebanyak RM617 juta.

Kedudukan kewangan syarikat yang kukuh dibuktikan oleh nisbah hutang bersih sebanyak 23 peratus.

Di peringkat antarabangsa, projek Battersea Power Station mencapai jualan perumahan sebanyak £243 juta (kira-kira RM1.4 billion) pada 2023.

Tahun kewangan 2023 adalah tahun yang amat penting bagi projek berkenaan yang sudah menerima lebih 11 juta pengunjung sejak 14 Oktober 2022.

Bagi 2024, Sime Darby Property menjangkakan tahun yang positif seperti yang dibuktikan oleh peningkatan

jumlah jualan, pelancaran produk baharu, projek siap serta dasar dan insentif yang memanfaatkan daripada kerajaan.

Syarikat hartanah itu mengumumkan sasaran jualan RM3.0 bilion dan pelancaran dengan GDV berjumlah RM3.9 bilion untuk tahun kewangan 2024.

Mengenai impak kelemahan ringgit terhadap syarikat, Azmir berkata, sememangnya kelemahan ringgit akan memberi kesan kepada kos pembinaan memandangkan bahan binaan adalah diimport.

Beliau berkata, penyusutan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sebanyak satu peratus menyebabkan kos pembinaan meningkat 0.15 hingga 0.25 peratus.

"Kami memantau perkara ini memandangkan ia boleh menjejaskan marjin jika situasi berterusan. Namun, setakat ini ia tidak terlalu teruk memandangkan kami berupaya menyerap (kesannya) memandangkan kemajuan di tapak," katanya.

Berita Harian X