Khamis, 22 Februari 2024 | 3:57pm
Sime Darby Plantation Bhd.
Sime Darby Plantation Bhd.

Sime Darby Plantation terkesan harga sawit lebih rendah

KUALA LUMPUR: Sime Darby Plantation Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah kepada RM1.86 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, merosot 25 peratus berbanding RM2.49 bilion pada 2022 berikutan harga minyak sawit yang rendah.

Dalam tempoh itu, pendapatannya juga merosot 12 peratus kepada RM18.43 bilion berbanding RM21.03 bilion.

Pada suku keempat 2023, keuntungan bersihnya juga rendah kepada RM200 juta, merosot 64 peratus berbanding RM562 juta suku sama 2022, sementara pendapatannya juga merosot tujuh peratus kepada RM5.28 bilion berbanding RM5.67 bilion.

Bagi sektor hilirannya, Sime Darby Oils (SDO) mencatatkan peningkatan sekali ganda dalam keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) kepada RM183 juta pada suku keempat 2023, peningkatan berbanding RM89 juta dicatatkan pada suku yang sama sebelumnya.

Prestasi kukuh SDO disokong oleh operasi Eropah yang mengurangkan kesan margin yang lebih rendah dalam

operasi Asia Pasifik.

Kumpulan perladangan itu juga mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 6.05 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen satu peringkat 15.00 sen sesaham untuk tahun kewangan 2023.

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Plantation, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha, berkata prestasi kewangan syarikat perladangan itu terkesan oleh purata harga minyak sawit mentah (MSM) direalisasikan yang rendah.

Beliau berkata, pada suku keempat 2023, purata harga MSM direalisasikan bagi operasi di Malaysia adalah sekitar RM3,900 satu tan berbanding RM4,560 satu tan pada suku sama tahun sebelumnya.

Namun, beliau berkata, operasi huluan Malaysia mencatatkan trajektori yang lebih baik dengan peningkatan dalam pengeluaran buah tandan segar (BTS), hasil daripada usaha pemulihan intensif, dengan kembalinya secara berterusan penuai asing ke Malaysia.

"Bagi 2024, kami percaya prestasi huluan Malaysia akan menghampiri paras pra-pandemik dan 2025 akan mencapai paras prapandemik.

"Tinjauan purata harga MSM bagi 2024 ialah sekitar RM3,700 hingga RM3,900 satu tan dan berpotensi mencecah lebih RM4,000 satu tan," katanya pada sidang media mengumumkan prestasi kewangan secara dalam talian hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Sime Darby Plantation dan Pengarah Urusan Sime Darby Oils, Mohd Haris Mohd Arshad serta Ketua Pegawai Kewangan Sime Darby Plantation, Renaka Ramachandran.

Sementara itu, Mohamad Helmy berkata, Sime Darby Plantation menjadi syarikat minyak sawit pertama di dunia yang mempunyai sasaran sifar bersih diluluskan oleh inisiatif Sasaran Berasaskan Sains (SBTi).

Beliau berkata, pencapaian itu adalah bukti komitmen berterusan kami terhadap tonggak strategik utamanya untuk pertumbuhan dan kejayaan jangka panjang, kelestarian, kecemerlangan operasi dan inovasi.

"Kami percaya bidang tumpuan ini penting untuk perniagaan kalis masa depan dan membantu kami untuk bergerak dengan berkesan melalui persekitaran operasi yang mencabar," katanya.

Mengenai impak kelemahan ringgit terhadap prestasi kewangan dan kedudukan hutang Sime Darby Plantation, Renaka berkata, kesannya adalah terhad memandangkan pendapatan yang diperoleh operasi di Malaysia adalah dalam ringgit dan eksportnya dalam denominasi dolar AS.

Beliau berkata, dari segi hutang adalah tidak terkesan memandangkan jumlah hutang dalam dolar AS adalah sekitar 30 peratus, dan pihaknya menggunakan dolar AS untuk membayar hutang itu.

Berita Harian X