Khamis, 22 Februari 2024 | 2:47pm
Maxis mencatat prestasi yang kukuh selaras dengan sasaran pertumbuhan yang mampan.
Maxis mencatat prestasi yang kukuh selaras dengan sasaran pertumbuhan yang mampan.

Maxis catat keuntungan selepas cukai dinormalisasi RM1.35 bilion

KUALA LUMPUR: Maxis Bhd merekodkan prestasi kewangan 2023 yang kukuh, sekali gus mengekalkan momentum pertumbuhannya dengan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 tertinggi pernah direkodkan dalam tempoh lima tahun.

Syarikat telekomunikasi itu merekodkan pertumbuhan yang mantap merentas perniagaan pengguna dan perusahaan, disokong oleh strateginya yang berfokus kepada kompetensi teras sebagai penyedia telekomunikasi bersepadu yang terkemuka.

Didorong oleh pertumbuhan dalam segmen mudah alih dan fiber pengguna serta kesalinghubungan dan penyelesaian digital perusahaan, hasil perkhidmatan Maxis meningkat sebanyak 2.8 peratus tahun ke tahun kepada RM8.572 bilion

Ini menyumbang kepada EBITDA sebanyak RM3.96 bilion dan keuntungan selepas cukai dinormalisasi sebanyak RM1.353 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng berkata, pihaknya telah mencatat prestasi yang kukuh selaras dengan sasaran pertumbuhan yang mampan.

"Kami akan terus membina atas asas kukuh sebagai penyedia telekomunikasi bersepadu yang terkemuka, memastikan kami mengekalkan fokus sepenuhnya kepada menyediakan pengalaman pelanggan yang terbaik," katanya dalam satu kenyataan, hari ini

Seow Eng berkata, perniagaan pengguna Maxis meningkat sebanyak 3.7 peratus melepasi paras RM7 bilion dalam hasil perkhidmatan pada tahun dikaji.

Beliau berkata, hasil pascabayar meningkat 7.5 peratus tahun ke tahun sejajar dengan pertumbuhan pelanggan.

Malah, katanya sejak memperkenalkan pelan 5G pada Ogos 2023, kumpulan memperluaskan penawaran 5G merentas semua pelan mudah alihnya untuk memberi nilai yang lebih besar.

Katanya, pelanggan jalur lebar kediaman meningkat kepada 750,000 isi rumah, disokong oleh pengambilan langganan jalur lebar fiber yang kuat.

"Sementara itu, hasil perniagaan perusahaan Maxis meningkat sebanyak 6.4 peratus daripada pertumbuhan dalam semua kategori produk, termasuk kesalinghubungan mudah alih dan tetap serta penyelesaian perusahaan, disumbang oleh kemenangan kontrak.

"Sebagai syarikat telekomunikasi bersepadu, Maxis terus memenuhi keperluan kesalinghubungan dan digital bagi perusahaan berbilang saiz," katanya.

Maxis mengisytiharkan dividen interim sebanyak empat sen sesaham, menjadikan dividen tahun penuh sebanyak 16 sen sesaham.

Maxis juga menguruskan perbelanjaan modal secara teliti sambil mengekalkan kecemerlangan operasi dan perkhidmatan, dengan pelaburan perbelanjaan modal berjumlah RM813 juta pada tahun lalu.

Fokus perbelanjaan modal adalah kepada memastikan pelaburan yang optimum untuk menyokong pertumbuhan kapasiti, binaan fiber dan pendigitalan.

Maxis terus melabur secara terplilih dalam bidang-bidang keutamaan, termasuk hab internet serantaunya di Sabah dan Sarawak pada tahun lalu.

Sementara itu, aliran tunai bebas operasi menurun kepada RM2.853 bilion, terkesan oleh pembayaran cukai pada tahun dikaji dan bayaran pendahuluan mengikut Perjanjian Langganan Saham (SSA) bersyarat berkenaan dengan Digital Nasional Bhd (DNB).

Berita Harian X