Rabu, 21 Februari 2024 | 9:14pm
Berjaya Food Bhd (BFood) - Foto AFP
Berjaya Food Bhd (BFood) - Foto AFP

Berjaya Food alami kerugian bersih RM42.58 juta

KUALA LUMPUR: Berjaya Food Bhd (BFood) terjerumus ke dalam kerugian pada suku kedua berakhir 31 Disember 2023, dengan kerugian bersih sebanyak RM42.58 juta berbanding dengan keuntungan bersih RM35.49 juta pada suku sama setahun lalu.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata kerugian bersih terutamanya disebabkan oleh jualan lebih rendah dicatatkan dan kerugian sekali saja daripada pelupusan keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Jollibean Foods Pte Ltd.

Sementara itu, pendapatan kumpulan merosot 38 peratus kepada RM182.55 juta daripada RM295.32 juta sebelumnya.

"Penurunan pendapatan kebanyakannya adalah disebabkan boikot berkaitan konflik di Asia Barat," kata Bfood.

Bagi tempoh enam bulan, kumpulan merekodkan kerugian bersih RM23.55 juta berbanding keuntungan bersih sebanyak RM70.18 juta, manakala pendapatan susut 20 peratus kepada RM461.09 juta daripada RM578.37 juta.

Mengenai prospek, lembaga pengarah berpandangan bahawa prestasi operasi BFood akan menunjukkan peningkatan bagi baki suku tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024.

"Tambahan lagi, lembaga pengarah percaya bahawa prestasi operasi akan pulih dan meraih momentum, melihat situasi semasa sebagai bersifat jangka pendek dan menjangkakan kemajuan positif menuju ke hadapan," tambahnya.

-BERNAMA

Berita Harian X