Rabu, 21 Februari 2024 | 5:06pm
Datuk Jeffri Salim Davidson
Datuk Jeffri Salim Davidson

Sime Darby catat keuntungan bersih luar biasa RM2.3 bilion

PETALING JAYA: Sime Darby Bhd mencatatkan keuntungan bersih luar biasa sebanyak RM2.3 bilion bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2023.

Prestasi itu dipacu terutamanya oleh keuntungan daripada pelupusan Ramsay Sime Darby Health Care (RSDH) pada Disember 2023 bernilai RM2 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson, berkata keuntungan bersih teras bagi suku dikaji tanpa merangkumi keuntungan atas pelupusan adalah sebanyak RM269 juta, turut meningkat sebanyak 7.2 peratus berbanding suku kedua tahun sebelumnya.

Beliau berkata, hasil kumpulan bagi suku dikaji juga 37.7 peratus lebih tinggi iaitu sebanyak RM15.5 bilion berbanding RM11.3 bilion pada suku kedua 2023.

Katanya, bagi tempoh separuh pertama tahun kewangan 2024 pula, kumpulan turut mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi berjumlah RM2.9 bilion.

Prestasi suku kedua kumpulan, katanya adalah sangat produktif dengan penyempurnaan jualan RSDH dan keluar sepenuhnya daripada perniagaan penjagaan kesihatan sekali gus membolehkan Sime Darby memberi tumpuan penuh kepada dua perniagaan teras iaitu perindustrian dan automotif.

"Kami juga telah menyempurnakan pengambilalihan kepentingan dalam UMW Holdings Bhd. Ia adalah satu kejayaan kerana dapat menambah dua jenama automotif utama iaitu Toyota dan PERODUA ke dalam portfolio.

"Ini akan membantu kumpulan meluaskan pendapatan dan menjana lebih banyak nilai. Kami sedang berusaha untuk memastikan kelancaran penyepaduan UMW ke dalam Sime Darby,: katanya ketika taklimat prestasi kewangan Sime Darby di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Jeffri berkata, secara keseluruhan perniagaan Sime Darby merekodkan prestasi yang memberangsangkan dengan bahagian perindustrian memperoleh pulangan yang memberansangkan daripada pengambilalihan Onsite Rental Group (Onsite) dan Cavpower Group (Cavpower), sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan bahagian.

Beliau berkata, Sime Darby yakin bahawa peningkatan keuntungan daripada operasi Australasia akan memperkukuhkan lagi perniagaan perindustrian dan terus memberikan sumbangan positif kepada pendapatan kumpulan.

Katanya, bahagian perindustrian Sime Darby merekodkan lonjakan keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) sebanyak 56.7 peratus kepada RM351 juta dipacu terutamanya oleh operasi bahagian ini di Australasia, yang mencatatkan kenaikan untung hasil daripada khidmat sokongan produk yang lebih tinggi serta hasil penjualan peralatan baharu.

"Prestasi itu juga disokong oleh sumbangan untung daripada syarikat baharu yang diperolehi kumpulan Onsite dan Cavpower," katanya.

Jeffri berkata, PBIT bagi bahagian automotif Sime Darby turut meningkat sebanyak 27.2 peratus kepada RM192 juta bagi suku dikaji dipacu oleh operasi Malaysia yang mencatatkan lonjakan dalam PBIT sebanyak 84.3 peratus kepada RM129 juta.

Katanya, PBIT bagi operasi Singapura meningkat sebanyak 87.5 peratus disokong oleh peningkatan permintaan bagi kenderaan elektrik.

"Prestasi kukuh operasi Malaysia dan Singapura membantu menampung kesan margin kenderaan yang rendah dari operasi bahagian di China," katanya.

Berita Harian X