Jumaat, 16 Februari 2024 | 5:14pm
Dzulkefly (tengah) menyaksikan kerjasama strategik antara KPJ Healthcare dan Mayo Clinic Care Network di Petaling Jaya hari ini -NSTP/Rohanis Shukri
Dzulkefly (tengah) menyaksikan kerjasama strategik antara KPJ Healthcare dan Mayo Clinic Care Network di Petaling Jaya hari ini -NSTP/Rohanis Shukri

KPJ Healthcare dapat sentuhan hospital terbaik di dunia

PETALING JAYA: KPJ Healthcare Bhd menjalin kerjasama strategik dengan Mayo Clinic, yang dinobatkan hospital terbaik di dunia pada 2023 dari Amerika Syarikat (AS).

Kerjasama itu dicapai menerusi penyertaan Hospital Pakar KPJ Damansara (KPJ DSH) dan Hospital Pakar Damansara 2 (DSH2) sebagai keahlian dalam Mayo Clinic Care Network.

Penyertaan itu juga menjadikan KPJ Healthcare sebagai rangkaian hospital pertama dan satu-satunya di Malaysia yang disenaraikan sebagai ahli Mayo Clinic Care Network.

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan, berkata kerjasama itu jelas menunjukkan komitmen kumpulan itu untuk memanfaatkan kepakaran di peringkat global bagi memacu kecemerlangan perubatan dan inovasi penjagaan pesakit, sekali gus menetapkan piawaian baharu dalam landskap sektor penjagaan kesihatan di negara ini.

"Hari ini mencatatkan sebuah lagi detik bersejarah bagi KPJ Healthcare apabila diiktiraf sebagai penyedia penjagaan kesihatan pertama dan satu-satunya di Malaysia yang menjadi ahli Mayo Clinic Care Network, melalui dua rangkaian hospital kami iaitu KPJ DSH dan DSH 2.

"Pencapaian ini adalah satu anjakan besar bagi kami dalam menerajui kecemerlangan perubatan kerana kami sentiasa berusaha untuk meneroka pendekatan yang inovatif demi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pesakit," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pemeteraian kerjasama strategik di antara KPJ Healthcare dengan Mayo Clinic di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation Bhd (JCorp), Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim; Pengarah Perubatan Eksekutif Mayo Clinic Bahagian Amalan Antarabangsa dan Asia Pasifik, Dr Stacey Rizza dan Pengerusi KPJ Healthcare, Datuk Md Arif Mahmood.

Keahlian dalam Mayo Clinic Care Network memberikan akses penuh kepada KPJ DSH dan DSH2 untuk memanfaatkan sumber klinikal dan perkhidmatan Mayo Clinic yang berteknologi tinggi, termasuklah penjagaan perubatan dan pembangunan profesional.

Mengulas lanjut, Keat Chyuan berkata, KPJ Healthcare berhasrat untuk memanfaatkan pengalaman, sumber dan amalan terbaik Mayo Clinic dalam meningkatkan kepakaran dan kemahiran pengamal perubatan mereka sendiri.

"Kami yakin bahawa strategi ini bukan sahaja hanya akan meningkatkan hasil dan kualiti rawatan pesakit, seiring dengan slogan 'Care for Life' kami, bahkan turut menyumbang kepada pembangunan negara.

"Dalam usaha meningkatkan standard piawaian perkhidmatan yang ditawarkan, kami juga secara tidak langsung merangsang kemajuan yang positif dalam industri penjagaan kesihatan di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Rizza berkata, pihaknya amat berbesar hati mengalu-alukan kehadiran KPJ DSH dan DSH 2 sebagai ahli Mayo Clinic Care Network.

"Organisasi kami turut berkongsi komitmen yang sama dalam memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti yang memberi tumpuan khusus kepada setiap pesakit.

"Kami tidak sabar untuk bekerjasama dengan KPJ Healthcare dalam memperkasakan perkhidmatan penjagaan kesihatan," katanya.

Keuntungan bersih KPJ Healthcare bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 melonjak kepada RM263.41 juta berbanding RM166.98 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan 2022.

Berita Harian X