Khamis, 15 Februari 2024 | 12:04pm
Mohamed Rafique (dua dari kiri) bertukar dokumen perjanjian bersama Shanti Jusnita - Gambar ihsan Maybank Islamic
Mohamed Rafique (dua dari kiri) bertukar dokumen perjanjian bersama Shanti Jusnita - Gambar ihsan Maybank Islamic

Maybank Islamic, TM tawar khidmat perbankan Islam digerakkan 5G

KUALA LUMPUR: Maybank Islamic Bhd dan Telekom Bhd (TM) menjalin kerjasama strategik melalui perbankan sebagai perkhidmatan (BaaS) yang pertama digerakkan oleh 5G.

Perkhidmatan ini direka untuk pengguna dan usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menggabungkan perkhidmatan kewangan oleh Maybank Islamic dan pakej mudah alih Uni5G TM, menawarkan akses dan pengalaman yang lancar secara digital pelanggan kepada pelanggan.

Pakej perkhidmatan perbankan perniagaan mudah alih pertama 'Go Niaga' ini ditawarkan kepada usahawan tempatan dan PMKS bagi membantu mereka menguruskan kewangan, meningkatkan pendapatan dan menawarkan pilihan pembayaran digital yang didayakan oleh rangkaian digital yang selamat daripada TM.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican, berkata kerjasama antara syarikat telekomunikasi terbesar Malaysia dan Maybank Islamic ini membuka peluang baharu kepada bank itu memberikan perkhidmatan perbankan Islam yang unik kepada pelanggan.

Katanya, kKerjasama ini merupakan satu inovasi dalam keterangkuman kewangan yang merangkumi penyelesaian Bank BaaS menerusi platform TM.

"Kini, individu atau peniaga yang tanpa kelayakan pembiayaan atau kurang khidmat bank mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan Maybank dengan liputan rangkaian mudah alih 5G melalui teknologi inovasi daripada TM," katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Komersial bagi Strategi Pengguna & Perniagaan Unifi, Shanti Jusnita Johari, berkata PMKS adalah sektor pertumbuhan penting dalam ekonomi negara yang kini menyumbang hampir 38 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, namun potensi mereka terhalang oleh akses yang terhad kepada alat digital dan perkhidmatan kewangan.

"Ini lebih ketara dalam kalangan segmen yang kurang berkemampuan, perniagaan mikro dan kecil yang menghadapi banyak cabaran dalam mengakses perkhidmatan kewangan dan inovasi digital yang diperlukan bagi meningkatkan taraf hidup dan sumber pendapatan mereka," katanya.

Bagi membantu perniagaan tempatan menyelaras operasi mereka, pakej Go Niaga menawarkan deposit minimum serendah RM100 untuk membuka akaun SME First Account-i, yang membenarkan pelanggan memisahkan akaun peribadi dan perniagaan bagi membantu meningkatkan penarafan kredit mereka dalam jangka panjang.

Ia turut menawarkan kemudahan pembayaran melalui Maybank QRPay Biz dan Tap2Phone, membolehkan titik jualan (POS) secara awan melalui peranti mudah alih bagi memudahkan pembayaran secara digital/kad.

Selain itu, kemudahan kredit termasuk Pembiayaan Digital SME Maybank Islamic: Program Aspirasi Wanita, memberikan lebih banyak usahawan akses kepada dana yang boleh membantu menstabil dan memperluas perniagaan.

Pelan mudah alih Uni5G Postpaid Biz 39, Uni5G Postpaid Biz 55 dan Uni5G Postpaid Biz 89 dipakejkan dengan peranti mudah alih 5G percuma, memastikan akses yang selamat kepada perkhidmatan kewangan pada bila-bila masa, di mana saja dengan keupayaan 5G kepada komuniti yang lebih ramai.

Rebat tunai pada bil Unifi Mobile juga ditawarkan apabila pelanggan mendaftar dan mengaktifkan untuk kemudahan pembayaran peniaga Maybank Tap2Phone dan pakej Uni5G Postpaid Biz.

Fasa permulaan ini akan tersedia dari 21 Februari sehingga 1 Mei 2024, dan pelanggan boleh melawat ke Pusat Ekonomi Digital (PEDi), cawangan Maybank dan Unifi Stores terpilih di seluruh negara untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai tawaran yang diberikan.

Berita Harian X