Rabu, 14 Februari 2024 | 4:20pm
Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MHB)
Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MHB)

MHB alami kerugian bersih RM484.18 juta

KUALA LUMPUR: Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MHB) mengalami kerugian bersih RM484.18 juta bagi tahun berakhir 31 Disember 2023, berbanding dengan keuntungan bersih RM67.77 juta yang dicatatkan setahun sebelumnya.

Ia disebabkan oleh peruntukan kos tambahan diiktiraf bagi projek kejuruteraan berat yang sedang berjalan dan kesan buruk daripada kejatuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) terhadap lindung nilai belum terima untuk projek kejuruteraan berat.

Ini berlaku walaupun pendapatan setahun penuhnya mencatatkan lonjakan dua kali ganda kepada RM3.31 bilion daripada RM1.65 bilion.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MHB menjelaskan bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2023, keuntungan bersih jatuh 77.21 peratus kepada RM6.18 juta, berbanding RM27.14 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya, berikutan pendapatan operasi yang lebih rendah dan kos kewangan yang lebih tinggi.

Syarikat itu memaklumkan, pendapatan sesaham kumpulan merosot kepada 0.4 sen daripada 1.7 sen pada suku keempat tahun akhir 2022.

"Sebaliknya, pendapatan meningkat lebih daripada dua kali ganda kepada RM1.12 bilion pada suku dikaji daripada RM424 juta setahun sebelumnya, dipacu oleh hasil daripada segmen kejuruteraan berat, yang melonjak 213 peratus tahun ke tahun kepada RM1.02 bilion.

"Berbanding dengan suku sebelumnya, MHB kembali mencatatkan keuntungan bersih untuk suku keempat 2023 berbanding kerugian bersih sebanyak RM105.21 juta pada suku ketiga 2023," katanya.

Mengenai prospek, MHB berkata pasaran minyak dijangka bertambah baik pada 2024, disokong oleh ramalan permintaan dan harga minyak yang tinggi di tengah-tengah bekalan terhad daripada pengurangan pengeluaran berterusan oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+), sekiranya tiada lagi kemerosotan dalam keadaan ekonomi global dan ketegangan geopolitik yang berterusan.

"Namun, jika krisis Laut Merah meningkat kepada peperangan, ini boleh menimbulkan dorongan kepada semua harga komoditi, dengan harga minyak yang tinggi akan menguntungkan syarikat minyak utama untuk menambah perbelanjaan modal huluan," katanya.

Sementara itu, ia berkata peningkatan kepentingan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) akan mewujudkan pelbagai peluang perniagaan untuk kumpulan dalam ruang tenaga boleh diperbaharui.

Pada masa yang sama, katanya MHB menekankan cabaran berterusan dalam segmen kejuruteraan berat disebabkan oleh kesukaran untuk mematuhi margin yang dianggarkan pada awalnya untuk projek yang sedang berjalan, di tengah-tengah kesan kenaikan harga bahan mentah dan gangguan rantaian bekalan global.

"Projek terbabit, yang dicagarkan di bawah kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan (EPCIC) daripada pelanggan beberapa tahun lalu, sedang bergelut dengan usaha berterusan untuk pulih daripada kesan inflasi serta gangguan jadual," katanya.

Berita Harian X