Selasa, 13 Februari 2024 | 9:59am
Ketua Pegawai Eksekutif Awantec, Azlan Zainal Abidin.
Ketua Pegawai Eksekutif Awantec, Azlan Zainal Abidin.

Awantec, RedTone jalin perkongsian projek RM294 juta

CYBERJAYA: AwanBiru Technology Bhd (Awantec), melalui anak syarikat milik penuhnya, Awantec Systems Sdn Bhd (ASSB) memeterai perjanjian perkhidmatan dengan Redtone Engineering & Network Services Sdn Bhd (Redtone).

Kerjasama strategik ini menandakan peristiwa penting bagi Awantec sebagai penyedia perkhidmatan pengurusan (MSP) tunggal untuk Google Cloud di Malaysia di bawah Perjanjian 'Cloud Framework Agreement' (CFA) antara kerajaan.

Awantec dalam satu kenyataan berkata, perjanjian perkhidmatan itu bernilai RM294.27 juta dan menjangkau tempoh 57.5 bulan, bermula pada 14 Februari 2024 dan berakhir pada 30 November 2028.

Katanya, usaha sama dengan Redtone ini khusus untuk menyokong projek komunikasi dan kerjasama bersatu kerajaan, MyGovUC 3.0.

"Awantec akan menyediakan penyelesaian dan perkhidmatan pengkomputeran awan yang merangkumi produk seperti Google Workspace Enterprise dan Google Cloud Platform.

"MyGovUC 3.0 adalah kesinambungan lancar daripada projek MyGovUC 2.0 yang berjaya untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti penyampaian perkhidmatan awam," katanya dalam satu kenyataan.I

Ia berkata, kerjasama ini menunjukkan peranan penting Awantec dalam merintis usaha transformasi digital dan menambah baik operasi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Awantec, Azlan Zainal Abidin, berkata pelantikan syarikat itu sebagai rakan kongsi utama dengan MSP untuk Google Cloud di Malaysia ini menggariskan keupayaan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk memperkukuh pelan transformasi digital kerajaan.

"Dengan dua dekad pengalaman ini, kami dalam berjaya melaksanakan projek teknologi berskala besar dan yakin kerjasama ini akan meningkatkan pendigitalan dalam sektor awam," katanya.

Berita Harian X