Rabu, 31 Januari 2024 | 2:46pm
Pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak (kiri) menyerahkan replika cek bernilai RM 1,000,000 kepada wakil pemenang, Aznul Haidi Mohd Azmi, 59, iaitu adik kepada Mohd Azrin Mohd Azmi,60, yang memenangi Cabutan Hadiah Utama Akaun Pelaburan i-Rizq Plus Bank Rakyat, turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr Mohammad Hanis Osman (kanan) di Menara Berkembar Bank Rakyat Bangsar. - NSTP/ AZIAH AZMEE
Pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak (kiri) menyerahkan replika cek bernilai RM 1,000,000 kepada wakil pemenang, Aznul Haidi Mohd Azmi, 59, iaitu adik kepada Mohd Azrin Mohd Azmi,60, yang memenangi Cabutan Hadiah Utama Akaun Pelaburan i-Rizq Plus Bank Rakyat, turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr Mohammad Hanis Osman (kanan) di Menara Berkembar Bank Rakyat Bangsar. - NSTP/ AZIAH AZMEE

Bank Rakyat sasar dana Pelaburan-i Rizq Plus RM100 juta tahun ini

KUALA LUMPUR: Bank Rakyat menyasarkan mengumpul dana baru berjumlah RM100 juta menerusi akaun Pelaburan-i Rizq Plus bagi tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr Mohammad Hanis berkata, sebanyak RM202 juta pelaburan berjaya direkodkan daripada akaun itu sehingga 31 Disember 2023.

"Untuk tahun ini kami menyasarkan untuk tambahan RM100 juta pelaburan daripada akaun i-Rizq Plus ini," katanya semasa sidang media selepas majlis penyampaian hadiah kempen akaun pelaburan i-Rizq Plus Bank Rakyat, di sini, hari ini.

Bank Rakyat sebelum ini menyasarkan pengumpulan dana keseluruhan sebanyak RM300 juta menerusi akaun Pelaburan-i Rizq Plus menjelang akhir 2024.

Hanis berkata bank bakal menyediakan pelbagai produk baharu yang inovatif dan bermanfaat terutama berkaitan dengan pelaburan.

"Selama ini produk yang kami ada adalah bersifat biasa, dan yang akan datang kami akan menyediakan produk yang lebih berasaskan aset," katanya.

Pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, Bank Rakyat sebelum ini memperkenalkan struktur hadiah baharu bagi Akaun Pelaburan-i Riza Plus.

Akaun itu menawarkan peningkatan hadiah lumayan berjumlah keseluruhan RM5.8 juta dengan hadiah utama bernilai RM1 juta kepada pelanggan bertuah bermula awal Ogos tahun lalu sehingga Januari 2025.

"Kejayaan Akaun Pelaburan-i Riza Plus ini mencerminkan usaha berterusan Bank Rakyat dalam menyediakan produk yang inovatif dan bermanfaat, sejajar dengan konsep Malaysia Madani yang menitikberatkan kesejahteraan inklusif serta kemakmuran ekonomi masyarakat Malaysia.

"Bank Rakyat meminta orang ramai untuk merebut peluang memenangi pelbagai hadiah yang menarik dan lumayan serta memanfaatkan peluang untuk bergelar jutawan menerusi Akaun Pelaburan-i Rizq Plus.

"Pengumuman pemenang pada hari ini adalah bagi mengakhiri pencarian jutawan pertama produk akaun pelaburan sulung Bank Rakyat yang diperkenalkan pada Julai 2022 khusus untuk menyediakan pilihan pelaburan patuh syariah yang mana kini mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan masyarakat," katanya.

Terdahulu pada majlis itu, seorang pemenang diumumkan sebagai pemenang kategori cabutan hadiah utama akaun pelaburan i-Rizq Plus dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM1 juta.

Berita Harian X