Jumaat, 26 Januari 2024 | 3:07pm
Pengurus Besar Pengurusan Kewangan & Perbankan Urus niaga Public Bank, Carene Khoo Geok Kheng (dua dari kiri) dan Ketua Segmen PKS dan Pasaran Pertengahan Maxis Business, Kevin Lee (dua dari kanan) bertukar dokumen MoU dalam satu majlis di Kuala Lumpur - Gambar ihsan Maxis dan Public Bank
Pengurus Besar Pengurusan Kewangan & Perbankan Urus niaga Public Bank, Carene Khoo Geok Kheng (dua dari kiri) dan Ketua Segmen PKS dan Pasaran Pertengahan Maxis Business, Kevin Lee (dua dari kanan) bertukar dokumen MoU dalam satu majlis di Kuala Lumpur - Gambar ihsan Maxis dan Public Bank

Maxis, Public Bank bantu PKS tempatan guna digital

KUALA LUMPUR: Maxis akan bekerjasama dengan Public Bank Bhd bagi mempercepatkan penerimagunaan digital dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini.

Kerjasama yang dimeterai menerusi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) itu akan menyaksikan kedua-dua pihak menjalankan program kesedaran bersama untuk mempromosikan digitalisasi antara PKS.

Ini akan membuka jalan untuk PKS mengakses penyelesaian digital, bersama dengan bantuan kewangan untuk melaksanakannya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Dr Tay Ah Lek, berkata kerjasama ini akan melihat PKS tempatan mendapat yang terbaik daripada kedua-dua bidang kewangan dan teknologi.

"Kami percaya bahawa dengan menggabungkan kepakaran kewangan kami dengan kebolehan teknologi Maxis, kami dapat memberikan impak yang bermakna dalam transformasi digital PKS Malaysia dan membolehkan mereka berkembang serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

"Public Bank dan Maxis akan bersama-sama berdedikasi untuk menyokong perniagaan dalam perjalanan mereka ke arah kejayaan, memanfaatkan yang terbaik daripada perbankan dan teknologi," katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng, pula berkata beliau gembira mempunyai Public Bank sebagai rakan kerjasama yang berfikiran sama dalam mencerminkan komitmen untuk membantu PKS.

Beliau berkata, sebagai sebuah syarikat telekomunikasi bersepadu, Maxis Business ialah rakan kerjasama yang dipercayai untuk perusahaan berbilang saiz.

"Kami ingin memudahkan digitalisasi untuk PKS, supaya mereka boleh memberi fokus kepada mengembangkan perniagaan dan melalui kerjasama ini, kami berharap dapat bersama-sama memacu transformasi digital PKS Malaysia.

"Untuk impak maksimum bagi kerjasama ini, kedua-dua pihak akan menerokai langkah untuk bersama-sama melibatkan pelanggan masing-masing melalui aktiviti di lapangan dan dalam talian dan ini termasuklah aktiviti seperti acara kesedaran di rangkaian cawangan Public Bank," katanya.

Sementara itu, Maxis Business akan menjadi rakan telekomunikasi dan digital rasmi Program Bantuan Digital PKS PB enterprise oleh Public Bank yang membolehkan pelanggan PKS Public Bank mengakses rangkaian penyelesaian ketersambungan dan digital Maxis untuk memenuhi pelbagai keperluan perniagaan mereka seperti ketersambungan mudah alih dan tetap, pembayaran, e-dagang, awan dan keselamatan siber.

Maxis Business juga akan membantu pelanggan PKS Public Bank memohon geran pendigitalan iaitu Geran Digital PMKS Madani oleh kerajaan untuk melaksanakan penyelesaian yang terbabit.

Katanya, PKS yang memerlukan bantuan kewangan lanjut juga boleh meneroka pelbagai penyelesaian pembiayaan yang ditawarkan oleh Public Bank.

Berita Harian X