Khamis, 25 Januari 2024 | 12:47pm
DXN Holdings Bhd
DXN Holdings Bhd

Untung bersih DXN meningkat kepada RM78.36 juta

KUALA LUMPUR: DXN Holdings Bhd mencatatkan untung bersih sebanyak RM78.36 juta bagi suku ketiga berakhir 30 November 2023, meningkat 16.5 peratus berbanding RM67.28 juta pada suku sama tahun lalu.

Pendapatannya turut berkembang kepada RM450.29 juta daripada RM439.22 juta sebelumnya, meningkat 2.5 peratus, terutamanya disebabkan pertumbuhan jualan yang berterusan di Amerika Latin dan India.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 November 2023, keuntungan bersihnya meningkat kepada RM231.98 juta daripada RM220.23 juta manakala pendapatan meningkat kepada RM1.33 bilion daripada RM1.2 bilion sebelum ini.

Menurut syarikat jualan langsung berorientasikan kesihatan dan kesejahteraan global itu, pertumbuhan berkenaan itu disebabkan oleh kembalinya aktiviti ahli dan sentimen pasaran yang positif selepas pandemik Covid-19 serta peningkatan dalam rangkaian produk.

"Walaupun persekitaran makroekonomi semasa menimbulkan cabaran tertentu, kumpulan komited untuk mencapai pertumbuhan pendapatan, mengoptimumkan produktiviti dan mengurus modal kerja.

"Kami optimis dengan berhati-hati untuk terus mencapai pertumbuhan pada tahun kewangan 2024.

"Dengan mewujudkan beberapa kemudahan pengeluaran baharu pada tahun kewangan 2024, kami telah mencipta peluang untuk pertumbuhan selanjutnya dalam kedua-dua pasaran semasa dan baharu kami, seperti Brazil, Argentina dan Algeria," katanya.

Syarikat itu mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak 0.90 sen sesaham biasa, berjumlah RM44.85 juta bagi tahun kewangan berakhir 29 Februari 2024 yang akan dibayar pada 8 Mac 2024.

Berita Harian X