Selasa, 23 Januari 2024 | 11:56am
Alliance Bank Malaysia Bhd
Alliance Bank Malaysia Bhd

Alliance Bank, CGC Digital bantu syarikat baharu dapat modal

KUALA LUMPUR: Alliance Bank Malaysia Bhd dan CGC Digital Sdn Bhd memulakan perkongsian strategik dengan melancarkan skim jaminan digital baharu bagi membantu syarikat baharu termasuk yang baru berusia enam bulan untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan awal dengan memberi akses yang lebih mudah kepada modal kerja.

Skim yang dipanggil Alliance Digital SME Startup Financing, yang diusahakan bersama dengan CGC Digital, anak syarikat teknologi kewangan milik penuh Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC), mengembangkan kerjasama sedia ada antara kedua-dua pihak bagi membolehkan lebih banyak perniagaan yang tidak memiliki cagaran untuk mendapatkan pembiayaan.

Kerjasama ini membuka peluang kepada perniagaan baharu yang layak (enam bulan dan ke atas) untuk memperoleh pembiayaan berjumlah RM20,000 hingga RM100,000 melalui PKS Digital Alliance Bank.

Pelanggan hanya perlu menyediakan satu dokumen sahaja iaitu penyata bank enam bulan untuk memohon pinjaman bank melalui proses dalam talian sepenuhnya yang boleh diakses pada bila-bila masa di mana-mana sahaja.

Ketua Pegawai Perbankan PKS & Komersial Kumpulan Alliance Bank, Raymond Chui, berkata segmen perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menjadi penyumbang kepada ekonomi dan penyediaan peluang pekerjaan berdepan dengan cabaran yang unik untuk mengakses pembiayaan.

Katanya, ini disebabkan oleh kekurangan cagaran dan sejarah kredit yang tidak panjang, justeru kerjasama dengan CGC Digital ini membantu mengembangkan rangkuman kewangan dan memudahkan PMKS yang baharu mengakses ekosistem perbankan.

"Pelanggan perniagaan kami akan menemui nilai tambah dalam rangkaian penuh penyelesaian perbankan dan bukan perbankan kami yang mampu memberi sokongan sepanjang kitaran hayat perniagaan.

"Strategi kami yang diperbaharui semula, Acceler8, meletakkan perniagaan sebagai fokus teras dan pendigitalan menjadi pemboleh utama dalam usaha kami membina penyelesaian yang pantas, lancar dan peribadi untuk membantu pelanggan berkembang dalam pasaran yang dinamik," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif CGC Digital, Yushida Husin, pula berkata syarikat itu akan terus berusaha untuk meningkatkan rangkuman kewangan dengan menyediakan akses yang lebih baik untuk pembiayaan kepada PMKS yang kekurangan peluang.

Katanya, ini dilakukan menerusi inovasi jaminan kredit CGC yang menerima data alternatif dalam penilaian risiko.

"Kami mahu mencipta nilai bersama-sama PMKS, terutamanya dengan syarikat-syarikat baharu, dan memberi sokongan sepanjang peringkat pertumbuhan mereka. Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Alliance Bank dalam membuktikan konsep ini.

"Kami memiliki visi yang dikongsi bersama untuk membangunkan lebih banyak produk kewangan yang memenuhi keperluan PMKS, terutamanya perusahaan yang tidak memiliki sejarah yang panjang dalam ekosistem digital.

"CGC Digital komited untuk membawa pembaharuan dalam produk CGC yang ditawarkan melalui platform digital. Usaha ini menyediakan pasaran digital sehenti untuk PKS bagi akses yang lebih baik kepada pembiayaan dan bantuan yang lebih disasarkan untuk mereka berkembang, meningkatkan tahap celik kewangan dan menambah baik penggunaan digital dalam kalangan PKS," katanya.

Berita Harian X