Jumaat, 12 Januari 2024 | 11:05pm
IJM Corporation Bhd
IJM Corporation Bhd

IJM umum pelaburan dalam gudang logistik, hartanah di UK

KUALA LUMPUR: IJM Corporation Bhd mengumumkan penyertaannya dalam dua pembangunan berkaitan hartanah iaitu projek Hab Logistik Antarabangsa Shah Alam (SAILH) seluas 28.73 hektar (ha) dan pembelian tapak seluas 4.45 hektar untuk pembangunan semula di Hertfordshire County, United Kingdom (UK).

Kumpulan pembinaan serta pembangunan hartanah itu berkata anak syarikat milik penuhnya, IJM RE Sdn Bhd hari ini menandatangani perjanjian dengan pembekal logistik Swift Haulage Bhd dan Hartamas Mentari Sdn Bhd untuk mengambil alih 25 peratus kepentingan dalam Global Vision Logistics Sdn Bhd, yang membangunkan SAILH .

SAILH bakal menjadi salah satu hab logistik mesra alam terbesar yang diperakui di ASEAN dan pertama di Malaysia, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Fasa pertama SAILH, yang dimulakan pembinaan pada September tahun lalu merangkumi kompleks gudang empat tingkat, tempat letak kereta bertingkat dan ruang pejabat dengan bangunan sampingan. Ditetapkan untuk siap menjelang 2025, ia akan menawarkan ruang seluas 2.8 juta kaki persegi," kata kumpulan itu.

Rancangan untuk fasa kedua sedang dijalankan, menjadikan jumlah ruang gudang kepada kira-kira enam juta kaki persegi apabila semua fasa selesai.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan IJM, Lee Chun Fai, berkata pelaburan kumpulan itu dalam Global Vision serta SAILH adalah langkah strategik bagi menangani peningkatan permintaan dalam sektor logistik, yang telah dirangsang oleh pertumbuhan e-dagang dan kepelbagaian rantaian bekalan.

"Keputusan ini bukan sahaja akan mengembangkan portfolio hartanah industri IJM, selain memberi tumpuan kepada aset bernilai tinggi yang menjana pendapatan berulang, ia juga mencerminkan kepakaran kami dalam infrastruktur dan pembinaan," katanya.

IJM ketika mengulas mengenai pembelian hartanah di UK memberitahu cabang hartanahnya IJM Land telah memperoleh kepentingan pegangan bebas tapak kilang Shredded Wheat yang bersejarah di Welwyn Garden City, yang 'amat sesuai bagi pembangunan semula'.

Tapak seluas 11 ekar (4.45ha) yang dikenali sebagai The Wheat Quarter (Utara), telah diluluskan untuk pembangunan 811 rumah dan 150,000 kaki persegi ruang penggunaan bercampur-campur.

Pembangunan itu akan menampilkan taman yang dirancang dengan baik dengan menyepadukan seni bina asal tapak 1920-an termasuk struktur tersenarai Gred II, menawarkan reka bentuk yang diterajui kediaman, berfokuskan komuniti.

"Pemerolehan ini membolehkan kami menggabungkan karakter bersejarah tapak itu dengan reka bentuk kontemporari, memupuk ruang komuniti bertenaga yang memenuhi keperluan bandar hari ini," kata Chun Fai.

Langkah ini adalah sebahagian daripada strategi pengembangan IJM Land di UK, membina kejayaan daripada projek Royal Mint Gardens di Central London dan perkongsiannya dengan Network Rail.

Kenyataan itu tidak mendedahkan kos pemerolehan untuk 25 peratus kepentingan dalam Global Vision atau tapak di UK.

-BERNAMA

Berita Harian X