Jumaat, 12 Januari 2024 | 3:50pm
Aminuddin (lima dari kiri) merasmikan majlis pecah tanah kilang NMSB di Kawasan Perindustrian Chembong - Gambar ihsan Careplus
Aminuddin (lima dari kiri) merasmikan majlis pecah tanah kilang NMSB di Kawasan Perindustrian Chembong - Gambar ihsan Careplus

Kilang NEV pertama Malaysia bakal dibina di Rembau

SEREMBAN: NexV Manufacturing Sdn Bhd (NMSB), syarikat usaha sama antara Kumpulan Careplus Bhd (Careplus) dan Kumpulan Go Auto akan melabur sebanyak RM600 juta untuk membangunkan kilang pembuatan dan pemasangan kenderaan tenaga baharu (NEV) pertama seumpamanya di Malaysia.

Pembinaan kilang yang akan mengeluarkan pelbagai rangkaian produk NEV termasuk kenderaan elektrik (EV) di Kawasan Perindustrian Chembong, Rembau, Negeri Sembilan itu dijangka memulakan operasi pada awal suku pertama 2025.

Selepas siap, kilang itu bakal memiliki kapasiti pengeluaran permulaan sebanyak 30,000 unit setahun, di mana satu pertiga adalah untuk keluaran model NETA melalui usaha sama di antara Careplus dan Intro Synergy Sdn Bhd iaitu anak syarikat GoAuto.

Kemudahan terbabit juga tidak hanya memasang kenderaan berjenama NETA, malahan terbuka kepada jenama NEV yang ingin membuat pemasangan tempatan (CKD) EV jenis penumpang, perdagangan ataupun motosikal.

Fasa pertama projek ini merangkumi pembangunan kilang pemasangan, yang dijangka bermula pada suku pertama tahun ini, manakala fasa kedua dan ketiga pula, masing-masing dijangka bermula pada 2026 dan 2028, sekali gus dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada 50,000 unit setahun.

Pembangunan fasa pertama dijangka mewujudkan lebih 600 peluang pekerjaan mahir dan separa mahir dengan pengkhususan pembuatan EV, terutamanya dalam penggunaan teknologi pembuatan pintar, termasuk automasi, integrasi sistem, robotik, pengurusan kilang berasaskan awan, internet kebendaan (IoT) industri dan teknologi lain seiring Revolusi Industri Ke-empat (IR 4.0).

Ketua Pegawai Eksekutif Careplus, Lim Kwee Shyan, berkata selain Intro Synergy yang juga pengedar tunggal jenama NETA, NMSB juga menjalinkan kerjasama untuk memasang model jenama lain seperti HIGER dan YUTONG.

"Selari pembuatan kenderaan hijau, kilang itu juga menggunakan penyelesaian mesra alam, seperti teknologi pelepasan air sisa sifar, pencemaran bunyi sifar, dan sisa pepejal diproses melalui pusat kitar semula yang terletak di dalam kawasan kilang.

"Sebahagian besar tenaga yang digunakan di kilang ini dikuasakan oleh panel solar yang dipasang di bumbung kilang," katanya dalam satu kenyataan.

Majlis pecah tanah kilang milik NMSB di Kawasan Perindustrian Chembong disempurnakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Yang turut hadir, Pengerusi Go Auto, Datuk SM Azli SM Nasimuddin Kamal.

Pada majlis sama, turut dilangsungkan pertukaran perjanjian CKD di antara Intro Synergy dan Hozon New Energy Automobile Co Ltd; dan Perjanjian Persefahaman (MoU) NMSB dengan Qingdao Huayue Guotai New Energy Car Co Ltd bagi meneroka peluang baharu bagi NEV di Malaysia dan ASEAN.

NMSB telah memperoleh Lesen Pengilangan sementara dari Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada Oktober 2023.

Baru-baru ini, NMSB juga menerima kebenaran merancang bagi memulakan pembinaan kilang pembuatan ini dari Majlis Daerah Rembau.

"Kami ucapkan terima kasih kepada semua pemegang taruh termasuk pihak berkuasa pusat dan tempatan, penduduk tempatan serta semua rakan perniagaan kami.

"Kami berharap dengan pemasangan model NETA V ini lebih ramai rakyat Malaysia dapat menerima dan menyokong produk keluaran dari Chembong ini," tambah Kwee Shyan.

Berita Harian X