Khamis, 11 Januari 2024 | 6:38pm
Alphabet mempunyai 182,381 pekerja di seluruh dunia - Foto Reuters
Alphabet mempunyai 182,381 pekerja di seluruh dunia - Foto Reuters

Google buang ratusan pekerja untuk kurangkan kos

BENGALURU: Google, syarikat yang dimiliki oleh Alphabet mengumumkan pemberhentian ratusan pekerja dalam pelbagai pasukan dengan pengasas bersama Fitbit, James Park dan Eric Friedman turut meninggalkan syarikat, pada ketika gergasi teknologi itu terus mengurangkan kos.

Google berkata, ia akan memberhentikan ratusan pekerja di unit Pembantu Suara, manakala beberapa ratus jawatan ditamatkan dalam pasukan perkakasan yang bertanggungjawab untuk Pixel, Nest dan Fitbit, dengan majoriti pekerja dalam pasukan realiti terimbuh (AR) dilepaskan.

Ratusan jawatan dalam pasukan kejuruteraan pusat gergasi enjin carian itu turut terjejas, kata syarikat itu.

Google membeli syarikat penjejakan kesihatan dan kecergasan, Fitbit dengan harga $2.1 bilion pada 2021 tetapi terus melancarkan versi baharu Pixel Watch, produk yang bersaing dengan beberapa peranti Fitbit dan juga Apple Watch.

"Sepanjang separuh kedua tahun 2023, beberapa pasukan kami membuat perubahan untuk menjadi lebih cekap dan bekerja dengan lebih baik serta menyelaraskan sumber mereka kepada keutamaan produk terbesar masing-masing.

"Sebahagian pasukan terus membuat perubahan organisasi seperti ini, termasuk beberapa jawatan yang ditamatkan secara global," kata jurucakap Google kepada Reuters dalam satu kenyataan.

Jurucakap itu tidak menyatakan jumlah jawatan yang terjejas. Tidak dapat dipastikan dengan segera jumlah pekerja yang menjadi sebahagian daripada perisian Google Assistant dan pasukan lain.

Penyusunan semula pasukan tertentu berlaku pada ketika syarikat seperti Microsoft dan Google mempertaruhkan peningkatan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) generatif susulan kejayaan ChatGPT oleh OpenAI.

Tahun lalu, Google mengumumkan rancangan untuk menambah keupayaan AI generatif kepada pembantu maya.

AI akan membolehkan pembantu melakukan perkara seperti membantu orang ramai merancang perjalanan atau menjawab e-mel dan kemudian bertanya soalan susulan.

Pada Januari 2023, Alphabet mengumumkan rancangan untuk mengurangkan 12,000 pekerjaan, bersamaan dengan enam peratus daripada tenaga kerja globalnya.

Setakat September 2023, Alphabet mempunyai 182,381 pekerja di seluruh dunia.

-Reuters

Berita Harian X