Rabu, 10 Januari 2024 | 9:24pm
Chin Hin Group Property Bhd (CHGP)
Chin Hin Group Property Bhd (CHGP)

Chin Hin Group beli tanah RM40 juta di Pulau Pinang

KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Chin Hin Group Property Bhd (CHGP), Chin Hin Property (Penang) Sdn Bhd memeterai perjanjian dengan Ivory Gleneary Sdn Bhd untuk membeli tanah pegangan kekal di Pulau Pinang dengan harga RM40 juta.

Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, ia membeli sebidang tanah berukuran kira-kira 0.492 hektar yang membentuk sebahagian daripada tanah seluas 4.922 hektar yang dipegang di bawah hakmilik induk di Georgetown, Pulau Pinang.

"Harga pembelian dijangka dibiayai menerusi gabungan dana dijana dalaman dan pinjaman bank, perkadaran akan ditentukan kemudian selepas mengambil kira tahap kadar hutang, kos faedah dan rizab tunai kumpulan," katanya.

CHGP, yang terbabit dalam perniagaan pembangunan hartanah berkata cadangan pembelian itu sejajar dengan strategi keseluruhan kumpulan untuk mendapatkan simpanan tanah baharu dan mengembangkan segmen pembangunan hartanahnya.

"Memandangkan lokasi tanah yang strategik dan tanpa sebarang keadaan yang tidak dijangka, lembaga pengarah yakin pembangunan itu akan memberi sumbangan positif kepada pendapatan CHGP pada masa hadapan.

"Oleh itu, cadangan pengambilalihan itu memberi prospek yang baik kepada kumpulan kerana ia selaras dengan strategi kumpulan untuk mengukuhkan segmen pembangunan hartanah dan pada masa yang sama, mempelbagaikan operasi di Pulau Pinang," katanya.

Tanpa keadaan di luar jangka, urus niaga itu dijangka selesai pada suku pertama 2025.

-BERNAMA

Berita Harian X