Selasa, 9 Januari 2024 | 5:41pm
Barclays - Foto Reuters
Barclays - Foto Reuters

Barclays buang 5,000 pekerja tahun lalu

LONDON: Barclays memberhentikan kira-kira 5,000 pekerjaan di seluruh dunia pada 2023 untuk 'memudahkan dan membentuk semula perniagaan', lapor agensi berita Jerman (dpa).

Bank itu berkata, pekerjaan itu 'dikurangkan' sebagai sebahagian daripada 'program kecekapan berterusan' - namun adalah tidak jelas berapa ramai daripada 5,000 pekerja itu berpangkalan di United Kingdom (UK).

Barclays berkata, majoriti individu yang terjejas akibat kehilangan pekerjaan berkhidmat dalam sokongan bank.

Ia berlaku selepas kesatuan sekerja, Unite berkata tahun lalu bahawa Barclays telah menghentikan 900 pekerja dalam perniagaannya di UK.

Pada November, Unite berkata pekerjaan yang terkesan merentasi beberapa bahagian sokongan pejabat dan menganggap keputusan untuk memecat kakitangan menjelang Krismas sebagai 'memalukan'.

Barclays telah mengurangkan kos dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dan telahpun mengurangkan pekerjaan merentasi perniagaan perbankan runcit dan pelaburannya.

Jurucakap Barclays berkata: "Barclays memberhentikan kira-kira 5,000 pekerja di seluruh dunia sepanjang 2023 sebagai sebahagian daripada program kecekapan berterusan yang dibuat untuk memudah serta membentuk semula perniagaan, menambah baik perkhidmatan dan memberikan pulangan yang lebih tinggi.

"Kami menyokong rakan sekerja yang terjejas dengan memberikan khidmat latihan, nasihat dan penempatan, bergantung pada lokasi mereka."

Bahagian Perkhidmatan Pelaksanaan Barclays, yang dikenali sebagai BX, telah ditubuhkan pada 2017 untuk menghimpunkan fungsi sokongan untuk dua perniagaan utama bank iaitu perbankan runcit UK dan antarabangsa.

-BERNAMA-dpa

Berita Harian X