Selasa, 9 Januari 2024 | 11:15am
Fajarbaru Builder Group
Fajarbaru Builder Group

Fajarbaru bangun kuarters pekerja RM172.4 juta di Seremban

KUALA LUMPUR: Fajarbaru Land (M) Sdn Bhd (FLSB) menjalin usaha sama dengan Care Dynamic Sdn Bhd (CDSB) bagi membangunkan projek pembinaan kuarters pekerja di Seremban, Negeri Sembilan.

Menurut FLSB dalam satu kenyataan, projek pembinaan itu mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM172.4 juta.

Katanya, usaha sama itu dinamakan Fajarbaru Dynamic Development Sdn Bhd, dengan FLSB mempunyai pegangan majoriti sebanyak 60 peratus dan CDSB memegang baki 40 peratus.

"Kerjasama ini membabitkan pembangunan bandar perindustrian di Seremban. Sebanyak 672 unit Kuarters Buruh Berpusat (CLQ) akan diwujudkan di Sungai Gadut, Seremban.

"Keluasan keseluruhan projek itu meliputi 4.41 hektar dan jangkaan tempoh pembinaan ialah 36 bulan," katanya.

CDSB, ditubuhkan pada 2022, ialah sebuah syarikat pengurusan asrama yang baru ditubuhkan di Negeri Sembilan.

FLSB pula ialah anak syarikat Fajarbaru Builder Group, yang juga pemaju hartanah utama dengan kehadiran di pelbagai pasaran di Malaysia dan Australia.

FLSB menyiapkan pembangunan sulungnya, Rica Residence @ Sentul, KL pada 2021.

Pemaju hartanah itu juga telah melaksanakan beberapa projek terkenal lain, iaitu Vierra Residence di Puchong, Gardenhill di Doncaster, dan The Wilds di Northcote.

FLSB turut memainkan peranan penting dalam pembangunan Paragon di Queen Street, sebuah bangunan pencakar langit berprestij di Melbourne.

Berita Harian X