Isnin, 8 Januari 2024 | 7:23pm
Boost Bank
Boost Bank

Boost Bank dapat kelulusan beroperasi mulai 15 Januari

KUALA LUMPUR: Boost, peneraju teknologi kewangan (fintech) serantau dan rakan konsortiumnya, RHB Banking Group (RHB) menerima kelulusan rasmi daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) untuk memulakan operasi sebagai bank digital, berkuat kuasa 15 Januari 2024.

Konsortium ini akan menjadi bank digital pertama majoriti milik Malaysia untuk memulakan operasi, dengan aplikasi yang direka untuk menangani jurang keterangkuman kewangan bagi golongan yang kurang dan tidak mendapat akses perbankan.

Konsortium Bank Digital Boost-RHB menerima kelulusan kawal selia lebih awal daripada jadual, selepas melalui audit kesediaan operasi menyeluruh yang disahkan oleh BNM.

Selepas berjaya mempamerkan infrastruktur asas yang teguh dan berdaya tahan bagi bank digital itu, kini secara rasminya dikenali sebagai Boost Bank oleh Axiata dan RHB (Boost Bank), konsortium ini akan beralih ke fasa ujian alfa yang membabitkan pekerja, keluarga, rakan dan kumpulan pelanggan terpilih.

Menjelang pelancaran awam rasmi, bank digital ini akan mempertingkatkan proposisi produknya secara progresif dan memperhalusi pengalaman pengguna bagi membuka jalan kepada era baharu kewangan demi memenuhi pelbagai keperluan semua rakyat Malaysia.

Menerajui pasukan bank digital ini ialah Fozia Amanulla, yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Boost Bank.

Beliau akan mengetuai pasukan bank digital yang berpengalaman, merangkumi kepakaran merentasi teknologi, keselamatan maklumat, produk, risiko dan pematuhan serta banyak lagi, memanfaatkan bakat fintech daripada Boost, kepakaran perbankan daripada RHB, serta keupayaan baharu daripada industri yang lebih meluas.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan Axiata, Vivek Sood, berkata kumpulan itu komited untuk mewujudkan ekosistem perbankan digital yang dinamik, daripada menawarkan dompet digital kepada lebih 10 juta pelanggan Boost seterusnya memperkenalkan penyelesaian perbankan digital yang lebih inovatif kepada rakyat Malaysia yang kurang dan tidak mendapat akses perkhidmatan.

"Matlamat kami adalah untuk menawarkan pilihan perbankan digital yang lebih meluas untuk mereka yang memiliki akses terhad kepada kemudahan perbankan konvensional," katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Boost, Sheyantha Abeykoon, berkata: "Kami menghargai kepercayaan dan keyakinan pengawal selia terhadap bank digital kami. Pasukan kami terus komited untuk mengekalkan standard tertinggi sambil kita membayangkan semula perkhidmatan kewangan secara bertanggungjawab, melalui kuasa teknologi dan data."

Sementara itu, mengulas pelantikannya, Fozia berkata: "Saya dengan berbesar hati untuk menerajui pasukan bank digital yang luar biasa ini, sambil kami membuka jalan, bukan sahaja untuk industri, malah untuk seluruh negara."

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Banking Group, Mohd Rashid Mohamad, pula kelulusan yang diterima daripada BNM dan MOF adalah pencapaian penting dalam komitmen bank itu bersama Boost untuk mewujudkan ekosistem kewangan yang lebih inklusif, terutamanya untuk perniagaan dan individu yang kurang mendapat akses perkhidmatan kewangan di Malaysia.

"Di bawah kepimpinan dinamik Fozia dan pasukan perbankan digital yang berpengalaman, kami yakin Boost Bank bersedia untuk menerajui landskap teknologi kewangan digital," katanya.

Konsortium Bank Digital Boost-RHB dengan Boost menguasai 60 peratus ekuiti dan baki 40 peratus dikuasai RHB, adalah antara lima pemohon lesen yang berjaya diumumkan oleh BNM pada April 2022.

Berita Harian X