Rabu, 3 Januari 2024 | 5:32pm
Panasonic Appliances Air-Conditioning R&D Malaysia Sdn Bhd (PAPARADMY).
Panasonic Appliances Air-Conditioning R&D Malaysia Sdn Bhd (PAPARADMY).

Panasonic buka pusat R&D baharu di Malaysia

KUALA LUMPUR: Panasonic Corporation memulakan operasi bangunan baharu yang dibina di Panasonic Appliances Air-Conditioning R&D Malaysia Sdn Bhd (PAPARADMY) di Malaysia.

Bangunan baharu ini dilengkapi dengan kemudahan terkini, termasuk makmal serba guna yang pertama untuk menguji pemanas air dan peralatan penyaman udara secara serentak.

Ia direka untuk menyingkatkan masa pembuatan peralatan penyaman udara untuk pasaran global, terutamanya di ASEAN dan Eropah, serta membolehkannya mempercepatkan pembangunan untuk memenuhi keperluan tempatan.

Panasonic Heating & Ventilation A/C Company memiliki dua syarikat di Malaysia iaitu Panasonic Appliances Air-Conditioning Malaysia Sdn Bhd (PAPAMY), yang merupakan kilang pengeluaran dan jualan untuk penghawa dingin bilik, penghawa dingin komersial, pam haba udara-ke-air (dikenali sebagai A2W)/

Sementara itu, PAPARADMY pula adalah pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D).

PAPAMY telah diasaskan pada tahun 1973 dan menyambut ulang tahun penubuhan yang ke-50.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob, berkata memuji keputusan Panasonic untuk menubuhkan bangunan R&D baharu mereka di Malaysia.

"Panasonic telah berdiri sebagai contoh cemerlang transformasi dan pertumbuhan korporat, mengemudi dengan cekap landskap dinamik teknologi pembuatan.

"Mengendalikan sembilan fasiliti perkilangan dan 12 entiti yang terbabit dalam R&D, jualan dan pengurusan. Pendekatan komprehensif Panasonic berjaya memupuk pertumbuhan ekonomi merentas pelbagai sektor serta menjana sekitar 17,000 peluang pekerjaan," katanya dalam satu kenyataan.

Sulaiman berkata, pusat R&D di Malaysia ini bersedia untuk dinaik taraf dari peranan sokongan kepada peranan kepimpinan global, menerajui pusat R&D untuk produk baharu serta teknologi baharu untuk perniagaan global Panasonic.

Beliau berkata, transformasi ini adalah bukti komitmen Panasonic terhadap inovasi dan pembangunan.

"Dengan sokongan daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan MIDA, pencapaian Kumpulan Panasonic di Malaysia dapat dicapai melalui pakatan strategik yang bertujuan untuk transformasi industri elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia dan menyumbang kepada kemajuan teknologinya," jatanya.

Di ASEAN, seiring dengan peningkatan populasi, pembangunan struktur besar, termasuk bangunan juga berkembang, justeru permintaan untuk penghawa dingin komersial kekal kukuh.

Pasaran global untuk produk penghawa dingin yang menggunakan teknologi pam haba, A2W, dan sistem hidronik yang sangat menjimatkan tenaga untuk kegunaan komersial sedang berkembang.

Panasonic, sebagai sebahagian daripada respon terhadap perkembangan ini, akan meningkatkan keupayaan penyelidikan dan pembangunannya melalui operasi bangunan R&D yang baharu.

Bangunan baharu ini dibina bersebelahan dengan bangunan PAPARADMY yang sekarang menempatkan makmal dan pejabat.

Ia mempunyai tiga tingkat dengan keluasan keseluruhan 10,900 meter persegi.

Bahagian pejabat terletak di tingkat tiga sebagai persediaan untuk penambahan kakitangan pada masa akan datang dan pelbagai jenis makmal pula disediakan di tingkat satu dan dua.

Berita Harian X