Isnin, 1 Januari 2024 | 2:56pm
Musk membeli Twitter pada Oktober 2022 - Foto Reuters
Musk membeli Twitter pada Oktober 2022 - Foto Reuters

X hilang 71.5 peratus nilai sejak dibeli Elon Musk

MOSCOW: Syarikat perkhidmatan kewangan Amerika Syarikat (AS), Fidelity yang membantu bilionair Elon Musk mendapatkan platform media sosial X pada harga kira-kira AS$44 bilion, percaya bahawa platform itu kehilangan kira-kira 71.5 peratus nilai sejak pengambilalihan itu dimuktamadkan, lapor Sputnik dengan memetik Axios.

Memetik pendedahan baharu Fidelity sehingga akhir November 2023, laporan itu berkata syarikat berkenaan sekali lagi mengurangkan nilai sahamnya dalam X.

Syarikat itu tidak semestinya mempunyai banyak atau sebarang maklumat mengenai prestasi kewangan platform berkenaan walaupun membantu Musk membeli X dan memilik saham dalam platform terbabit, kata laporan itu.

Fidelity juga percaya bahawa X kehilangan kira-kira 10.7 peratus nilainya sejak November 2023 apabila Musk membidas pengiklan dalam satu acara dalam talian kerana enggan berurus niaga dengan X susulan daripada beberapa kenyataan dibuat oleh bilionair itu.

Musk membeli Twitter dengan anggaran AS$44 bilion pada Oktober 2022.

Twitter Corporation tidak lagi wujud sebagai syarikat berasingan susulan penggabungan dengan X Corp pada April 2022.

Akhir Julai lalu, logo Twitter ditukar daripada burung biru kepada logo hitam putih X.

Musk menjelaskan bahawa logo baharu itu memberikan simbolik 'ketidaksempurnaan yang menjadikan semua orang adalah unik'.

-BERNAMA-SPUTNIK

Berita Harian X