Khamis, 28 Disember 2023 | 8:59pm
Pelanggan Maybank boleh memohon bantuan bagi meringankan beban kewangan -NSTP/Ghazali Kori
Pelanggan Maybank boleh memohon bantuan bagi meringankan beban kewangan -NSTP/Ghazali Kori

Maybank tawar bantuan kepada pelanggan terjejas banjir

KUALA LUMPUR: Malayan Banking Bhd (Maybank) menawarkan bantuan banjir yang bertujuan meringankan beban kewangan kepada pelanggan individu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pelanggan bukan runcit lain yang terjejas akibat banjir.

Bantuan banjir ini akan termasuk, antara lain, penangguhan pembayaran pembiayaan/pinjaman, pengurangan ansuran bulanan atau lanjutan tempoh pembayaran balik.

Dalam satu kenyataan hari ini, bank itu berkata pelanggan boleh memohon bantuan menerusi e-mel, atau kunjungi atau hubungi mana-mana cawangan bank itu, Pusat PKS, Pusat Perbankan Perniagaan atau Pusat Kewangan Auto di seluruh negara.

"Semua permohonan akan dinilai berdasarkan maklumat kes yang tertentu," kata Maybank.

Selain itu, bank juga menawarkan pengecualian yuran dan caj untuk perkhidmatan terpilih, seperti penggantian kad debit, kad ATM atau buku cek yang hilang atau rosak semasa banjir.

Sementara itu, cabang insurans Kumpulan Maybank, Etiqa, telah menyediakan proses tuntutan yang cepat dan mudah untuk pemegang polisi insurans dan pemegang sijil takaful, tanpa keperluan borang atau dokumen sokongan, katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X