Khamis, 28 Disember 2023 | 11:39am
Kredit e-dompet RM100 diberikan kepada rakyat Malaysia berusia 21 tahun dan ke atas daripada golongan B40 dan M40 bermula 4 Disember.
Kredit e-dompet RM100 diberikan kepada rakyat Malaysia berusia 21 tahun dan ke atas daripada golongan B40 dan M40 bermula 4 Disember.

Kredit eMADANI melalui MAE boleh diguna di 700,000 peniaga

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik bernilai lebih RM500,000 apabila mereka menebus dan membelanjakan kredit e-dompet RM100 eMADANI menerusi aplikasi MAE Maybank.

Sebagai sokongan penuh kepada peniaga mikro, kecil dan sederhana, pengguna juga boleh mendapatkan penyertaan tambahan dengan 'Tap, Track, Win' apabila mereka Imbas & Bayar dengan MAE di lebih 700,000 peniaga di seluruh negara seperti 99 Speedmart, MyNEWS, MYDIN, WATSONS, Guardian, EcoShop, CHAGEE, Nasi Kandar Pelita, NINJAZ dan banyak lagi.

Pengguna berpeluang memenangi hadiah termasuk Proton S70 1.5T Premium, Proton Exora 1.6T Premium, Proton Saga 1.3L Premium SAT, motosikal Honda 2023 RSX V2, 10g emas, komputer riba 'gaming', Samsung Z Fold 5, Smart TV, PlayStation 5 dan wang tunai sehingga RM5,000 sempena Kempen Tebus, Belanja dan Menang.

Tuntutan kredit RM100 eMADANI boleh dilakukan hingga 20 Februari 2024, manakala pembelian dibuat dari 4 Disember hingga 20 Februari 2024.

Kredit e-dompet RM100 diberikan kepada rakyat Malaysia berusia 21 tahun dan ke atas daripada golongan B40 dan M40 bermula 4 Disember, sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat pada 27 Julai lalu.

"Pengguna hanya perlu membuka aplikasi MAE, kemudian tekan ikon 'eMADANI' pada laman utama, masukkan maklumat mereka dan tekan 'Submit'. Mereka akan menerima notifikasi apabila penebusan RM100 eMADANI berjaya," menurut kenyataan Maybank.

Terdapat dua cara untuk Imbas & Bayar bagi menggunakan kredit RM100 eMADANI ketika pembayaran menerusi aplikasi MAE, sama ada dengan mengimbas kod QR peniaga atau menunjukkan kod QR kepada juruwang untuk diimbas.

"Jika kod QR Maybank atau DuitNow peniaga dipamerkan di kaunter, pelanggan terlebih dahulu perlu menekan ikon 'Scan' pada laman utama aplikasi MAE, kemudian imbas kod QR peniaga dan masukkan jumlah yang perlu dibayar, pastikan suis togol eMADANI 'ON' dan berwarna hijau.

"Bagaimanapun, sesetengah peniaga akan meminta untuk mengimbas kod QR pelanggan. Dalam hal ini, pelanggan perlu menekan ikon 'Scan' pada laman utama aplikasi MAE, kemudan tekan pada ikon 'Show QR code' dan tunjukkan kod QR atau kod bar kepada juruwang, pastikan suis togol eMADANI 'ON' dan berwarna hijau," menurut Maybank.

Aplikasi MAE, iaitu aplikasi perbankan gaya hidup, terpilih sebagai antara aplikasi pengagihan kredit eMADANI yang memanfaatkan kira-kira 10 juta rakyat Malaysia daripada golongan B40 dan M40, sekali gus mempercepatkan pelaksanaan dan penerimaan terhadap pembayaran tanpa tunai dalam kalangan peniaga tempatan di negara ini.

Berita Harian X