Jumaat, 22 Disember 2023 | 4:19pm
MyNews Holdings Bhd
MyNews Holdings Bhd

Saham MyNews melonjak selepas kembali catat untung

KUALA LUMPUR: Saham MyNews Holdings Bhd meningkat 0.51 peratus dalam dagangan awal hari ini selepas syarikat itu kembali mencatatkan keuntungan pada suku keempat berakhir 31 Oktober 2023 dengan keuntungan bersih sebanyak RM947,000 berbanding kerugian bersih RM82,000 setahun lalu.

Ia melaporkan bahawa pendapatan suku tahunan meningkat sebanyak 3.08 peratus kepada RM186.16 juta daripada RM180.6 juta didorong oleh kedai baharu dan peningkatan jualan secara keseluruhan.

Bagi setahun penuh, kerugian bersih mengecil kepada RM10.7 juta daripada RM19.62 juta pada 2022, dengan pendapatan meningkat 15.67 peratus kepada RM730.24 juta daripada RM631.33 juta.

Kumpulan ketika ini mengendalikan 460 kedai myNEWS (termasuk 26 Supervalue), 131 kedai CU dan 19 kedai WHSmith.

Pada 11 pagi tadi, saham syarikat itu meningkat setengah sen kepada 52 sen dengan 912,900 saham diniagakan.

Dalam satu nota hari ini, RHB Investment Bank Bhd berkata perolehan teras tahun kewangan 2023 (Oktober) mengatasi jangkaan susulan prestasi mantap daripada unit myNews.com yang mengimbangi kerugian mengecil CU.

Katanya, 'keadaan buruk telah berakhir' bagi syarikat itu dan penilaian sasarannya adalah bersandarkan kepada jangkaan pemulihan mampan, dipacu oleh kecekapan operasi dipertingkatkan, pengembangan strategik, dan kemunculan pemegang saham utama baharu.

Firma penyelidikan itu menaikkan unjuran perolehan bagi 2024 dan 2025 masing-masing sebanyak empat dan 14 peratus, dan mengumumkan unjuran keuntungan bagi 2026 sebanyak RM36 juta.

Saham syarikat saranan 'beli' dengan sasaran harga 68 sen.

Risiko utama adalah pemulihan CU tertangguh dan sentimen pengguna lebih lemah daripada jangkaan, katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X