Jumaat, 15 Disember 2023 | 3:57pm
Pengurus Besar (Riadah & Hospitaliti) Gamuda Land, Sanjay Nadarajah (dua dari kanan) bergambar bersama maskot ÕSplash SquadÕ selepas merasmikan kempen SantaÕs Ho-Ho-Holidays di SplashMania Waterpark. - NSTP/SADIQ SANI
Pengurus Besar (Riadah & Hospitaliti) Gamuda Land, Sanjay Nadarajah (dua dari kanan) bergambar bersama maskot ÕSplash SquadÕ selepas merasmikan kempen SantaÕs Ho-Ho-Holidays di SplashMania Waterpark. - NSTP/SADIQ SANI

Sejumlah 50,000 pengunjung dijangka meriahkan Splashmania Waterpark

KUALA LANGAT: Pemaju hartanah, Gamuda Land menjangkakan jumlah pengunjung ke SplashMania Waterpark di Gamuda Cove, di sini akan meningkat lebih 30 peratus sepanjang cuti sekolah bermula esok berbanding hari biasa.

Pengurus Besar (Riadah & Hospitaliti) Gamuda Land, N Sanjay, berkata pihaknya meramalkan sekitar 40,000 hingga 50,000 pengunjung akan mengunjungi taman tema air itu sepanjang dua minggu cuti sekolah ini.

"Ya kami memang ada jangkaan (pertambahan pengunjung) sekarang dengan bermulanya cuti sekolah, malah sudah ada warga Singapura yang datang ke sini dan saya fikir dengan langkah kerajaan mengecualikan visa kepada beberapa negara menyaksikan penambahan pelancong asing ke sini.

"Justeru itu, bermula esok sehingga 1 Januari 2024, kami akan menganjurkan 'Santa's Ho-Ho-Holidays' yang menyaksikan SplashMania Waterpark berubah menjadi kawasan ajaib Krismas, dihiasi dengan hiasan Krismas yang menarik perhatian dan dipenuhi dengan aktiviti menarik dan promosi istimewa.

"Pelanggan SplashMania juga boleh menikmati diskaun 50 peratus untuk tarikan berdekatan iaitu Discovery Park dan Paya Indah Discovery Wetlands," katanya ketika ditemui selepas melancarkan Santa's Ho-Ho-Holidays di sini, hari ini.

Sepanjang kempen Krismas, pengunjung berpeluang menyaksikan kawasan musim sejuk yang tampil hidup melalui keajaiban salji di SplashMania dan menari bersama-sama dengan Splash Squad kegemaran anda – Omba'King the Dugong, Swaggy B the Sun Bear, Zoomi the Orang Utan dan Max the Otter – yang mengenakan busana sempena perayaan Krismas.

Acara kemuncak Persembahan Santa Surfing eksklusif dari 23 hingga 25 Disember ini, apabila Santa Claus sendiri akan beraksi meluncur ombak di Omba'King Cove.

Pengunjung juga boleh mendapatkan barangan Krismas SplashMania edisi terhad yang tersedia untuk pembelian, membolehkan tetamu membawa pulang secebis pengalaman menakjubkan sebagai tanda kenangan pada musim perayaan ini.

Malah sempena kempen itu, pengunjung boleh menikmati hidangan Krismas yang lazat dengan pakej ayam panggang eksklusif berharga RM168 sahaja. Hidangan lazat itu disertakan dengan ubi kentang, sayur tumis, tongkol jagung, ubi keledek dan dua sos.

Sebagai bukti komitmen SplashMania yang tidak berbelah bahagi untuk menyediakan pengalaman yang luar biasa dan tidak dapat dilupakan untuk tetamu dari semua peringkat umur, SplashMania Waterpark telah menerima beberapa anugerah pada tahun 2023.

Selain dua anugerah Pa&Ma Jenama Pilihan: "Taman Air Pilihan Pa&Ma (Taman Air Terbaik)" dan "Pusat Sehenti Percutian Untuk Keluarga Pilihan Pa&Ma (Pusat Percutian Keluarga Sehenti Terbaik)", SplashMania turut memenangi Anugerah Kajian Gelombang Persatuan Taman Air Dunia untuk "Best Waterpark Brochure", dan tiga Anugerah Golden Horse Association Of Theme Park & Family Attractions (MATFA) 2023 yang luar biasa untuk "Taman Air Terbaik 2023", "Taman Air Baharu Terbaik" dan "Taman Tema Mesra Alam Terbaik".

Splashmania yang terletak di dalam perbandaran Gamuda Cove bakal dimeriahkan lagi dengan pembangunan hotel pertamanya iaitu Hotel ASAI Gamuda Cove.

Hotel berstatus gaya hidup skala pertengahan berkenaan dijangka mula dibuka pada suku pertama 2026 dan menawarkan penginapan sebanyak 280 bilik di perbandaran Gamuda Cove.

Berita Harian X